Pengarahnya Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata pihak Perhilitan bersedia untuk menjalankan tanggungjawab bagi memastikan konflik antara hidupan liar dan manusia dapat dikurangkan serta diatasi dengan sebaik mungkin.
"Kita jangka akan berlaku konflik apabila hidupan liar yang terkepung dan keluar daripada habitat asal kerana banjir, kebanyakan melibatkan spesies primat, ular, musang, buaya dan sebagainya.
"Ada situasi hidupan liar seperti ular sawa masuk dalam rumah yang dinaiki air untuk mencari makanan dan menyorok namun setakat ini aduan masih terkawal dan anggota dapat menjalankan tugas seperti biasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mungkin akan berlaku sedikit kesukaran untuk anggotanya menjalankan tugas kerana banyak laluan tidak boleh diakses oleh kenderaan jabatan akibat banjir tetapi pihaknya akan melihat situasi itu dari semasa ke semasa.
"Penduduk diminta untuk berhati-hati bagi mengelak sebarang risiko yang tidak diingini akibat serangan hidupan liar. Mereka yang menghadapi gangguan konflik hidupan liar ini boleh menghubungi Perhilitan di talian 1-800-88-5151 untuk tindakan lanjut," katanya.
-- BERNAMA