Insiden pergaduhan di Plaza Low Yat pada pagi Isnin berisiko berpanjangan ke institut pengajian tinggi (IPT) dan sekolah jika tidak diambil cara penyelesaian segera.

Presiden Majlis Belia Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, jika tidak dibendung, insiden itu boleh membawa kepada bibit-bibit rusuhan kaum di seluruh negara.

"Pada hemat saya insiden yang berlaku dan disebarkan melalui media sosial sewaktu umat Islam menjalani ibadat Ramadan boleh menyebabkan sensitiviti umat Islam di negara ini terguris.

"Tambahan pula pergaduhan yang berlaku adalah melibatkan generasi muda dua kaum di negara ini. Saya khuatir kalau insiden yang disebarkan media sosial ini tidak dipantau kelak boleh merebak ke sistem persekolahan dan IPT di dalam dan luar negara," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Tiga cedera rusuhan dekat Plaza Low Yat

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata demikian ketika mengulas kejadian rusuhan yang menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang cedera termasuk seorang wartawan manakala empat individu ditahan berhampiran Plaza Low Yat.

TONTON: Perkembangan di Plaza Low Yat (Isnin, 9:00 pagi)

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa dilaporkan berkata, pihaknya turut membuka dua kertas siasatan melibatkan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Jelasnya, siasatan juga dibuat di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan merusuh dan mencuri.

BACA: Plaza Low Yat kecoh, tujuh lelaki mengamuk

Pada malam Sabtu, sekumpulan tujuh lelaki mengamuk di Plaza Low Yat selepas seorang rakan mereka mendakwa ditipu penjual telefon bimbit di situ.

Dalam kejadian yang berlaku jam 7.50 malam itu, beberapa pekerja kedai telefon di plaza berkenaan dibelasah oleh kumpulan tersebut. Selain itu, mereka turut merosakkan peralatan dan barangan di dalam kedai.

BACA: 'Nak masuk Low Yat kena ada ilmu' - Netizen

Dalam pada itu jelas Irmohizam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia disaran segera menggubal peruntukan-peruntukan di dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar memikirkan undang-undang baru bagi mengawal keharmonian dan keselamatan rakyat di negara ini.

TONTON: Kronologi rusuhan di Low Yat

"Undang-undang itu terutamanya bagi pencegahan insiden yang boleh mengakibatkan pergaduhan kaum seperti yang berlaku di Plaza Low Yat," ujarnya.

BACA: Gaduh Low Yat: KPDNKK mulakan siasatan, akan bekerjasama dengan pemilik hak cipta

Pada Ahad, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur Muez Abdul Aziz memberitahu, pihaknya akan memulakan siasatan berhubung dakwaan kononnya satu insiden pergaduhan yang berlaku di Plaza Low Yat pada malam Sabtu berpunca akibat penipuan oleh peniaga.