KUALA LUMPUR: Seorang peniaga sayur rakyat tempatan ditahan selepas dipercayai menoreh leher seorang lelaki dalam insiden perselisihan faham di kawasan parkir Program Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata suspek lelaki yang bekerja di Pasar Borong Selayang berumur 28 tahun itu ditahan di tempat kejadian pada 6.45 petang.

"Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan polis sedang memohon perintah reman terhadap suspek," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mangsa dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Selayang.

Butiran lanjut mengenai kes terbabit akan dikongsikan dalam sidang media yang dijadualkan petang ini.

Terdahulu, tular beberapa klip video memaparkan pergelutan dan pergaduhan melibatkan dua individu terbabit sambil dileraikan oleh orang awam yang dipercayai berhubung isu parkir berlapis.

-- BERNAMA