KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menerima kunjungan hormat Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing di pejabatnya di Putrajaya.

"Melalui kunjungan ini, saya pasti ia akan mengeratkan serta meningkatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan China," kata Perdana Menteri menerusi catatan di akaun Facebooknya.

Beliau berkata Malaysia telah menjalin hubungan baik dengan China sejak sekian lama dan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara akan terus dipertingkat.

"Saya percaya banyak perkara boleh dicapai dengan kerjasama dua hala yang cemerlang antara kedua-dua negara," katanya.

Menerusi catatan di Facebook itu Perdana Menteri turut berkongsi video dan tiga keping foto yang dirakamkan semasa kunjungan hormat berkenaan.



-- BERNAMA