PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Singapura hari ini untuk menyertai Milken Institute 10th Annual Asia Summit.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, Perdana Menteri akan diiringi oleh isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir;  Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta pegawai dari kementerian dan agensi yang berkaitan.

Semasa persidangan tersebut, Anwar akan menyertai dua sesi khas iaitu ‘A Conversation with the Prime Minister of Malaysia’ dan ‘Malaysia’s Investment Outlook: A Conversation between Prime Minister and Global Investors’.

Kedua-dua sesi ini akan disertai oleh pemimpin-pemimpin industri global dan syarikat-syarikat pelaburan.

Di samping itu, Perdana Menteri turut dijadualkan untuk bertemu dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, dalam satu sesi minum petang di mana kedua-dua pemimpin dijangka akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan domestik dan antarabangsa.

Pada tahun 2022, Singapura merupakan rakan dagang dunia kedua terbesar Malaysia dengan perdagangan mencecah RM390.4 bilion (AS$83.53 bilion) yang merangkumi 12.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan negara.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan pada tempoh yang sama bagi tahun 2021 (RM301.7 bilion/AS$64.55 bilion).