Datuk Seri Najib Tun Razak bakal mengimbau kembali kenangan masa lalu apabila mengunjungi kolej lamanya Malvern College di Worcestershire untuk merasmikan Pusat Sains Razak pada Isnin (Isnin di Malaysia).

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK), Datuk Ahmad Rasidi Hazizi berkata perdana menteri melanjutkan pelajaran peringkat menengah di kolej tersebut dari 1968 hingga 1971.

“Sebagai penuntut lama Malvernian, perdana menteri mempunyai kenangan indah dengan kolej itu," katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.

Selain Najib, adiknya Datuk Johari turut belajar di kolej tersebut. Kolej berkenaan merupakan sekolah berasrama dan juga sekolah harian yang diasaskan pada 1865, antara sekolah persendirian utama di UK.

“Kolej Malvern sangat berbangga dengan kejayaan seorang daripada bekas penuntutnya sehingga menjadi perdana menteri Malaysia dan memiliki personaliti terhormat sebagai alumninya," kata Ahmad Rasidi.

Beliau berkata perdana menteri diberi penghormatan untuk merasmikan pusat sains itu yang diberi nama sempena namanya (dalam budaya barat, Najib ketika itu dikenali sebagai Mr Razak).

Pusat berkenaan mempunyai 18 buah makmal canggih termasuk makmal pameran dan bilik-bilik persediaan tambahan.

Worcestershire terletak kira-kira dua jam setengah pemanduan dari sini dan Najib dijadual menggunakan jalan raya untuk ke bekas kolejnya itu.

Perdana menteri dijanga tiba di sini lewat Sabtu (Ahad di Malaysia) dari Riyadh selepas menghadiri majlis pemakaman Raja Arab Saudi, Abdullah bin Abdulaziz yang mangkat pada Jumaat.

Beliau telah memendekkan lawatan beliau ke Forum Ekonomi Dunia ke-45 (WEF45) di Davos, Switzerland berikutkan kemangkatan Raja Abdullah.