Dua tekong dan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan ketika hendak keluar dari negara ini melalui jalan laut.

Kesemua mereka yang berumur 20 hingga 49 tahun ditahan ketika sedang menunggu bot di hutan Ladang Kurina, Bandar Penawar, di Kota Tinggi, Johor pada Sabtu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata penangkapan sindiket migran ini adalah susulan dari penahanan dua tekong laut pada Rabu lalu.

Katanya sindiket ini aktif sejak tiga bulan lalu.



"Yang kita dapat kesan ada beberapa tekong yang memang beroperasi di Malaysia tapi lepas PKP ini mereka berpindah ke Indonesia sebab kita punya kawalan sudah ketat, (iaitu) dengan sekatan jalan raya dan sebagainya.

“Untuk mereka bergerak susah buat masa ini, (maka) mereka berehat dulu. Kalau warga Indonesia ini dia balik (gunakan) tekong darat ada tekong laut," ujar Ayob Khan.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua telefon bimbit, wang tunai RM4,000 dan 1.95 juta Rupiah.

Jelas Ayob Khan, dua tekong itu direman 28 hari hingga 9 Mei depan mengikut Akta Kesalahan Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA), manakala kesemua PATI direman 14 hari hingga 25 April mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua mereka juga disiasat di bawah Seksyen 26a Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.