Terdahulu, beberapa jam sebelum tengah malam, mereka disajikan dengan pelbagai program termasuk persembahan pentas dan forum agama yang menumpukan kepada memperkasakan semangat patriotik dan kecintaan terhadap tanah air.
Sejurus tepat 12 tengah malam, percikan bunga api mula menerangi beberapa lokasi diiringi laungan "Merdeka" penuh semangat oleh orang ramai yang hadir.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) tidak ketinggalan menyemarakkan Sambutan Ambang Hari Kebangsaan dengan menganjurkan Ambang 31@Bernama di pekarangan lobi Wisma Bernama di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj serta petugas Bernama dan ahli keluarga mereka.
Program itu diserikan dengan persembahan sape oleh Alena Murang, nyanyian lagu patriotik oleh Badan Kesenian Tentera Darat dan persembahan tarian oleh murid-murid Sekolah Kebangsaan Danau Kota.
Sementara itu, kira-kira 20,000 warga kota membanjiri taman Esplanade KLCC untuk meraikan sambutan Ambang Merdeka 2024, Program "Rise above it all" anjuran Menara Berkembar Petronas menampilkan barisan artis tempatan seperti Amy Search, Reshmonu, Yuna, Hael Husaini, Datuk M. Nasir dan lain-lain.
Di SELANGOR, Ambang Merdeka disambut meriah di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini dengan kehadiran lebih 60,000 pengunjung yang hadir seawal petang tadi bagi bersama-sama meraikan detik itu.
Acara yang bermula pada 4.50 petang itu didahului dengan Majlis Selawat dan Qasidah yang diselaraskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Di SARAWAK, sambutan Ambang Hari Kebangsaan diadakan di Sibu bermula dengan Konsert Ambang Hari Kebangsaan di Dataran Tun Tuanku Bujang yang menyaksikan persembahan artis-artis popular tempatan dan tanah air selain pertunjukkan bunga api pada detik 12 tengah malam.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam perutusannya mengibaratkan Malaysia sebagai sebuah keluarga besar dengan semua kaum dan wilayah diberi peluang yang seimbang untuk mengejar pembangunan.
Di NEGERI SEMBILAN, program Kembara Merdeka Akar Umbi peringkat negeri bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan berlangsung dengan meriah hari ini bermula 8.30 pagi tadi.
Kembara Merdeka itu membabitkan sebanyak 250 motosikal dan 50 kereta berkonvoi sejauh 300 kilometer dengan melalui tujuh daerah di negeri itu.
Di MELAKA, buat julung-julung kali kerajaan negeri mengadakan Majlis Sambutan Ambang Merdeka peringkat negeri di Dataran Orang Kampung di Merlimau, Jasin.
Seawal 8 malam, ribuan orang termasuk pengunjung dan pelancong mula memenuhi dataran berkenaan untuk bersama-sama mengira detik bagi menyambut Hari Kebangsaan ke-67 tepat 12 tengah malam.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf turut menyampaikan Amanat Kemerdekaan pada 11.45 malam sebelum kiraan detik ambang kemerdekaan disusuli pertunjukan bunga api.
Di KELANTAN, lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan Sambutan Ambang Merdeka di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dengan menyaksikan pelbagai acara menarik seperti perarakan perbarisan kontinjen daripada agensi kerajaan dan negeri, persembahan silat serta nyanyian lagu patriotik.
Di PERLIS, ambang merdeka disambut sekali dalam majlis sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar pada malam ini yang disempurnakan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Di PERAK, sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Perak 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di Ipoh bermula pada 8 malam dengan lebih 15,000 hadirin terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Sambutan dimulakan dengan persembahan tarian, sketsa, muzikal puisi, koir, gamelan, persembahan kebudayaan dan nyanyian oleh selebriti iaitu Marsha Milan Londoh, Ezad Lazim serta kumpulan Tebabo.
Di KEDAH, Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Dataran Jubli Emas, Alor Setar disambut penuh meriah dengan kehadiran ribuan rakyat dari setiap pelusuk negeri.
Sambutan Ambang Merdeka yang diisi dengan pelbagai program, aktiviti dan persembahan itu turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Seri Norizan Khazali dan barisan Exco kerajaan negeri.
Di TERENGGANU, lebih 10,000 pengunjung memenuhi Dataran Jambatan Angkat (Drawbridge) di Kuala Terengganu seawal 7 malam untuk meraikan sambutan ambang kemerdekaan Malaysia ke-67.
-- BERNAMA