Ringkasan AI
- Pejabat Parlimen Ampang bersedia menjadi pemudah cara antara NGO untuk mengembangkan syiar Islam, dengan memberi sokongan kepada NGO seperti Perkim.
- Perkim menyediakan rumah transit dan kelas agama percuma untuk mualaf, serta memainkan peranan penting dalam membantu mereka.
- Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, memberikan peruntukan RM15,000 kepada Perkim dan menekankan kerjasama antara NGO dan agensi kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan.
Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail berkata, beliau secara peribadi menzahirkan rasa terharu apabila semakin banyak NGO seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) yang aktif memainkan peranan sedemikian.
Beliau berkata, selain menyediakan rumah transit, Perkim turut menyediakan kelas-kelas pengajian secara percuma kepada golongan mualaf bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan ilmu agama yang sempurna.
“Saya terharu dengan peranan yang dimainkan Perkim dalam membantu mengembangkan syiar Islam negara, kerana saya sedar tugas ini bukanlah mudah. Atas sebab itu, Parlimen Ampang bersedia menjadi penghubung (pemudah cara) antara NGO masyarakat dengan agensi yang sepatutnya agar usaha ini digerakkan secara maksimum.
“Ini kerana tugas membantu mereka yang memerlukan ini atau kurang berkemampuan ini bukan terletak hanya pada satu pihak tapi merupakan tanggungjawab semua,” katanya ketika merasmikan Asrama Darul Huda di bawah pengurusan Perkim Datuk Keramat dan Ampang, yang bakal menjadi rumah transit untuk golongan mualaf.
Rodziah turut menyampaikan peruntukan RM15,000 bagi dapat membantu pihak pengurusan memenuhi keperluan mualaf di samping memastikan mereka terus bersemangat untuk mendalami Islam.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad, yang lebih dikenali sebagai Altimet berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penglibatan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan.
Menurutnya kerjasama seperti ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada masyarakat sekali gus membolehkan dana rakyat benar-benar sampai kepada golongan sasar yang ditetapkan.