GOPENG: Perak akan mengambil langkah untuk mengurangkan haiwan jalanan yang berkeliaran, khususnya anjing dan kucing, agar populasinya dapat dikawal.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, itu adalah antara isu utama yang dihadapi oleh pihak berkuasa tempatan ekoran bilangannya yang semakin bertambah.

Menurutnya, mulai tahun hadapan, Bahagian Kerajaan Tempatan akan mengadakan kempen secara bermusim yang turut menawarkan subsidi untuk perkhidmatan kesihatan, seperti memandulkan haiwan jalanan.

“Mungkin ianya (subsidi) akan datang daripada dua sumber iaitu kerajaan negeri sendiri ataupun daripada sumber bantuan ataupun sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di mana kita akan kurangkan kadar bayaran tersebut kepada satu kadar yang cukup minima.



“Jadi kita mahukan dengan adanya kempen ini secara bermusim, ianya juga akan menggalakkan pendidikan di antara pembela-pembela haiwan ini untuk lebih bertanggungjawab, khususnya dalam kita mengawal populasi mereka yang tidak berkehendakkan haiwan-haiwan itu lagi,” katanya.



Beliau ditemui selepas merasmikan Festival Kucing Jalanan 2021 di The Treasure @ Taman Herba, di sini, hari ini.



Menurutnya, dengan adanya kempen secara berkala, akan dapat memberi lebih pengetahuan kepada masyarakat untuk mengawal kucing atau anjing jalanan.



Sementara itu, di dalam ucapannya, Nolee Ashilin berharap, dalam keadaan Pandemik Covid -19 serta bencana banjir sekarang para penyelamat kucing jalanan dapat memaksimakan usaha dan memperluaskan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan supaya dapat membantu dan membela nasib kucing jalanan dalam skala yang lebih besar, khususnya di Perak.



“Kerajaan negeri melihat inisiatif ini wajar diteruskan bagi membela nasib kucing jalanan seterusnya mensejahterakan eko sistem setempat,” ujarnya.



Justeru itu, katanya, beliau memberi sokongan penuh kepada pihak penganjur festival, Meow Food Truck untuk terus menjalankan program- program yang berkaitan dalam memberi kesedaran kepada orang awam untuk menyantuni kucing-kucing jalanan.