Beliau berkata cadangan ini telah dimaklumkan kepada Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad yang bertujuan menyokong inisiatif perang terhadap gula di samping memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan bahaya diabetes.
"Saya juga telah berbincang dengan Hospital Teluk Intan dan jika berjaya, hospital berkenaan akan diisytihar sebagai 'Zero Sugar Hospital' bermula 1 Jan 2025 dengan tiada sesiapa pun, sama ada pesakit atau pelawat dibenarkan membawa minuman bergula masuk ke dalam kawasan hospital.
"Kalau kita dapat lakukan ini, Perak akan jadi negeri pertama berbuat demikian dengan tindakan proaktif melawan diabetes ini, kerana ia punca kepada banyak penyakit lain," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sivanesan berkata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak perlu menjadi contoh kepada agensi lain dan berharap 189 klinik, 221 klinik desa, 18 klinik bergerak, termasuk 15 hospital di negeri ini akan giat menjayakan kempen berkenaan.
"Kita tak boleh paksa pihak swasta turut melakukan perkara sama, saya juga akan mengadakan mesyuarat dengan hospital-hospital swasta tentang kantin mereka, mereka pun harus mengamalkan apa yang kita buat, dengan ini kita boleh mendidik anak-anak kita (tentang bahaya mengambil gula berlebihan)," katanya.
-- BERNAMA