Mangsa ditemukan pada jam 11:45 pagi kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas.
Mangsa yang dikenali sebagai Vilkie Wilson, 15, ditemukan dalam keadaan yang sempurna dan masih lengkap berpakaian sekolah.
Bapa mangsa, Wilson Nyanggin, mengesahkan telah dihubungi pihak polis untuk membuat pengecaman mayat.
"Polis suruh saya pergi ke balai polis untuk buat pengecaman mayat dan mungkin dibawa ke Hospital Kuching untuk buat pengecaman. Itu sahajalah yang saya tahu. (Mangsa) anak bongsu, anak keempat ," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kini masih mengekalkan elemen hari pertama, melakukan pencarian di permukaan sungai, sambil menggunakan anjing pengesan di sekitar kawasan tiga kilometer radius ke hulu sungai.
Ketika operasi dimulakan hari ini, cuaca hujan dan air pasang.
Dalam kejadian sekitar jam 6.10 pagi pagi Isnin, perahu yang membawa 20 penumpang kebanyakannya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Senibong sedang menuju ke seberang sungai, sebelum perahu dinaiki mereka karam.
Seramai 13 pelajar sekolah iaitu tujuh lelaki dan enam perempuan berjaya diselamatkan, bersama-sama dua lelaki dewasa dan dua wanita dewasa.
Identiti dua mangsa yang masih hilang kemudiannya dikenal pasti sebagai Alsma Jithil, 14; dan Helena Fasha Petrus, 17.