KUALA LUMPUR: Pertubuhan dan individu yang menyumbang dana kepada Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) untuk Program Pemuliharaan Orang Utan Borneo layak mendapat pelepasan cukai.

Pengurus Besar MPOGCF Hairulazim Mahmud berkata pelepasan itu, termasuk bagi pemain utama dalam industri kelapa sawit Malaysia, dibuat mengikut Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau berkata dana yang didermakan itu akan digunakan bagi melaksanakan pelbagai program untuk memelihara dan memulihara orang utan menggunakan pendekatan in-situ.

"Antaranya program kerjasama menubuhkan pasukan renjer yang terdiri daripada pakar untuk memantau keberadaan, keselamatan, dan keadaan haiwan terancam itu. Dana itu juga boleh digunakan untuk penanaman pokok hutan dan buah-buahan yang menjadi sumber makanan Orang Utan," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut kenyataan itu Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam ucapannya pada perasmian sambutan Hari Orang Utan Sedunia anjuran MPOGCF di Sepilok pada 18 Ogos lepas mengulangi komitmen kerajaan Malaysia dan industri kelapa sawit terhadap pemuliharaan Orang Utan Borneo.

Johari berkata bahawa diplomasi Orang Utan in-situ adalah kaedah terbaik untuk menangani persepsi negatif terhadap industri kelapa sawit Malaysia dan beliau menjemput negara-negara pengimport minyak sawit Malaysia untuk menyokong program pemuliharaan Orang Utan.

Hairulazim berkata pemuliharaan in-situ Orang Utan Borneo adalah idea MPOGCF hasil perbincangan dan perkongsian pandangan dengan pakar-pakar pemuliharaan, termasuk pemain dalam industri kelapa sawit Malaysia.

"Usaha ini membuktikan komitmen tinggi dan murni kerajaan melalui MPOGCF dan penggiat industri sawit dalam memulihara biodiversiti khususnya dalam landskap ladang kelapa sawit," katanya.

Pendekatan in-situ merujuk kepada aktiviti pemuliharaan yang dijalankan habitat semula jadi, sama ada di hutan belantara atau hutan di ladang kelapa sawit yang dikenali sebagai kawasan Pemuliharaan Bernilai Tinggi (HCV).

Melalui kaedah ini Orang Utan bebas bergerak, mencari sumber makanan, dan membiak tanpa gangguan manusia atau aktiviti bercucuk tanam.

-- BERNAMA