Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengakui masih berlaku kegiatan penyeludupan sama ada besar atau kecil di sempadan negara terutamanya antara Malaysia-Thailand, ketika ini.

Katanya, ia berikutan koordinasi antara agensi-agensi kawalan di sempadan masih longgar dan tidak bersepadu.

Disebabkan itu, tegasnya, kegiatan penyeludupan dapat dibendung sebaiknya apabila undang-undang Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dilaksana nanti.

“Ketika ini, polis, UPP, Kastam, JPJ, Imigresen dan jabatan-jabatan lain menjalankan penguatkuasaan mengikut cara masing-masing.

“Bila ada Aksem nanti, semua pegawai di bawah agensi-agensi kerajaan yg bertugas di sempadan digabungkan di bawah satu komanden,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Menurut beliau, Aksem akan menyelaras tindakan bersepadu antara agensi kawalan serta tindakan undang-undang yang akan dilaksanakan pelaku salah di sempadan.

“Kalau ada satu komanden dipilih daripada polis contohnya, pegawai-pegawai daripada jabatan lain yang bertugas di sempadan mesti patuh kepada komanden tersebut.

“Matlamatnya ialah untuk memastikan bahawa keseragaman penguatkuasaan ini akan memberikan ketakutan kepada mereka yang melakukan jenayah di kawasan sempadan ini agar ianya berada dalam keadaan yang terkawal,” jelasnya.

Tambah Nur Jazlan, ia akan dikuatkuasakan terlebih dahulu di sempadan Malaysia-Thailand sebelum diperluas ke sempadan Sarawak-Kalimantan dan Sabah-Kalimantan.

Bagaimanapun beliau merasakan ia tidak sempat dibentang dalam sidang Dewan Rakyat kali ini dan akan dibawa ke sesi hadapan.

Ketika ini, masih lagi dilaporkan kelonggaran penguatkuasaan undang-undang di sempadan bukan setakat melalui lubang-lubang tikus, malah di pintu masuk sempadan yang dikawal sendiri.

Setiap kenderaan yang keluar masuk tidak diperiksa sebaiknya, membolehkan kegiatan penyeludupan berlaku seperti kes penyeludupan bekalan minyak masak ke Thailand susulan pengumuman kenaikan harga minyak oleh kerajaan baru-baru ini.