KUALA NERUS: Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus melakar kecemerlangan dalam bidang sains marin negara setelah berjaya melepaskan 600,000 benih karang di perairan Pulau Bidong baru-baru ini.

Pakar penyelidik batu karang UMT Profesor Madya Dr Tan Chun Hong berkata kejayaan dalam proses pembenihan batu karang itu adalah yang pertama di Malaysia.

Beliau berkata usaha seumpama itu turut dilakukan oleh penyelidik di beberapa negara lain seperti di Great Barrier Reef di Australia dan Pulau Curacao di Laut Caribbean.

"Pembenihan batu karang memerlukan induk yang matang dan bersedia untuk bertelur. Induk kemudiannya dibawa keluar daripada laut untuk disenyawakan secara ex situ di darat.

"Hasil pembenihan daripada tiga induk batu karang Acropora gemmifera berjaya menghasilkan sebanyak 600,000 benih batu karang. Keseluruhan proses mengambil masa selama lima hari di Pulau Bidong sebelum dilepaskan ke laut.

Peneluran batu karang adalah kaedah persenyawaan haiwan marin itu secara besar-besaran yang melibatkan ratusan koloni mengeluarkan jutaan telur dari betina dan sperma dari jantan secara serentak. --fotoBERNAMA

"Usaha pembenihan ini memerlukan masa, tenaga, dan kos yang tinggi untuk dilaksanakan di lebih banyak kawasan terjejas. Sokongan daripada sukarelawan dan pemberi dana sangat dialukan-alukan untuk terus melaksanakan usaha ini secara berterusan dan lebih berskala besar di seluruh Malaysia," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ditanya impak positif kejayaan penyelidikan terbaharu itu, beliau berkata ia diharap dapat menjadi pemangkin untuk pemulihan terumbu karang pada masa akan datang kerana kadar kemandirian larva telur yang terhasil dari pembiakan secara semula jadi amat rendah.

"Proses bertelur karang yang berlaku secara besar-besaran ialah dua kali setahun iaitu pada Mac dan April serta September dan Oktober. Ketika berlakunya fenomena tersebut, jutaan telur dilepaskan ke dalam air oleh pelbagai spesies batu karang secara serentak.

Gambar menunjukkan peneluran batu karang yang berlaku sekitar waktu bulan penuh di perairan Pulau Bidong baru-baru ini. --fotoBERNAMA

"Namun, kadar kemandirian larva adalah sangat rendah. Daripada jutaan telur tersebut, ia akan dimakan oleh ikan ataupun hanyut ke tepi pantai sebelum sampai ke peringkat akhir proses metamorfosis berlaku. Oleh itu, usaha pembenihan ini diharap dapat membantu memulihkan populasi batu karang di perairan negara," katanya.

Jelasnya, metamorfosis ialah proses melibatkan perubahan struktur fizikal daripada larva berbentuk seperti ulat, sehingga menjadi bentuk sama seperti batu karang dewasa dan menjadi induk yang baharu.

-- BERNAMA