Penyanyi utama kumpulan Wings, Awie, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas dakwaan memukul isterinya Rozana Misbun, 36.

Awie, yang nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas isterinya.

Dia didakwa melakukan perkara itu pada 2 Jun lalu di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang lebih kurang pukul 1.30 petang.

Awie tiba di mahkamah dengan pakaian serba hitam pada kira-kira jam 11 pagi dengan diwakili peguambela Hazman Harun.

awie
Awie kelihatan tenang ketika tiba di ruang legar Mahkamah Majistret Ampang. Foto Astro AWANI/ Shahir Omar

Turut hadir beberapa teman dan ahli kumpulan Wings yang lain iaitu Joe dan Eddie.

Awie yang kelihatan tenang ketika pertuduhan dibaca Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim berkata, dia tidak menyangka perkara ini akan dibawa ke mahkamah.

“Saya tidak mahu komen apa-apa takut nanti memberi kesan ke atas kes ini, namun saya tidak sangka sampai ke mahkamah jadinya,” katanya yang ditemui sejurus selepas didakwa.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan Awie diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan dua penjamin, dan menetapkan 11 Ogos ini sebagai tarikh sebutan.

Sekiranya disabitkan kesalahan, Awie boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan di denda.