RUMAH Produksi Merah, milik legenda rock tanah air, Datuk Awie, mengumumkan penganjuran Rock Warrior Music Festival yang akan menghimpunkan band rock tanah air dalam satu persembahan yang bertenaga dan penuh nostalgia.


Ringkasan AI
  • Dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah milik Datuk Awie, festival ini akan berlangsung pada 23 dan 24 November di KL Base, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
  • Menampilkan band rock terkemuka seperti Wings, Search (KidDin), dan XPDC, festival ini bertujuan menghidupkan kembali era kegemilangan muzik rock.
  • Tiket dijual sejak 7 September dengan harga RM250 (Gold), RM200 (Silver), dan RM150 (Bronze). Acara ini juga menawarkan pelbagai aktiviti sampingan seperti gerai makanan dan minuman serta barangan rock eksklusif.


Festival ini bakal berlangsung pada 23 dan 24 November depan di KL Base, Sungai Besi, Kuala Lumpur dan ia menjanjikan pengalaman muzik yang tiada tandingan kepada semua peminat rock.

Rock Warrior Music Festival bakal menampilkan barisan artis rock terkemuka seperti Wings, Search (Kid & Din), dan XPDC pada 23 November yang akan mempersembahkan lagu-lagu hit mereka dari era kegemilangan rock sehingga kini.



Awie berkata, penganjuran berkenaan adalah salah satu usaha Rumah Produksi Merah untuk menghidupkan kembali suasana era kegemilangan muzik rock, serta menyatukan generasi lama dan baru peminat muzik genre berkenaan.

“Saya percaya festival ini akan menjadi titik tumpu yang mampu mencorakkan semangat kesatuan dalam kalangan peminat muzik, sama ada mereka adalah golongan lama yang sudah lama menggemari genre rock atau golongan baharu yang baru bersuara dalam dunia muzik ini.

“Tidak hanya itu, Rock Warrior Music Festival sebagai medan yang amat sesuai untuk mengetengahkan bakat baharu dalam industri muzik rock.

"Platform unik ini memberi peluang kepada kumpulan rock baharu untuk beraksi, mengagumkan penonton, serta memperkenalkan lagu dan karya original mereka kepada dunia.

“Dengan adanya penekanan yang diberikan oleh festival ini terhadap kepelbagaian bakat dalam kalangan penyampai lagu rock, ia memperlihatkan komitmen sebenar pihak penganjur dalam mempromosikan kepelbagaian dan inovasi dalam industri muzik tempatan,” katanya.



Tambah Awie, Rock Warrior Music Festival bukan sahaja menjadi acara hiburan yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat-peminat muzik, tetapi juga menjadi tonggak penting yang mendukung perkembangan industri muzik rock di negara ini.

“Diharapkan festival ini akan terus menjadi mercu tanda yang membawa kegemilangan kepada muzik rock, serta menjana inspirasi dan semangat yang berterusan dalam kalangan peminat muzik tanah air.

“Malah, festival ini juga adalah untuk semua pejuang muzik rock yang tidak pernah putus asa menyokong genre ini.

"Kami mahu menghidupkan semula semangat rock, dan membawa pengalaman yang mengasyikkan kepada semua yang hadir,” katanya lagi.



Selain persembahan muzik yang bertenaga, acara ini juga menawarkan pelbagai aktiviti sampingan lain, termasuk barisan ‘booth’ makanan dan minuman, aksesori, gerai jualan eksklusif barangan rock, dan banyak lagi.

Tiket untuk menyaksikan Rock Warrior Music Festival turut dijual sejak 7 September lalu dan harga tiket untuk dua hari penganjuran ialah Gold (seated) RM250, Silver (standing) RM200 dan Bronze (standing) RM150. -Media Hiburan