KUALA LUMPUR: Laluan trafik dari Kuala Lumpur menghala ke Jalan Johar, Bangsar melalui Lebuhraya SPRINT akan ditutup sepenuhnya mulai 28 Ogos ini hingga Mac 2022.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja membina jalan raya bertingkat dari persimpangan Lebuhraya SPRINT/Jalan Maarof ke persimpangan Lebuhraya Sprint/Jalan Semantan.

Menurut kenyataan itu, laluan trafik lorong kanan dari Lebuhraya SPRINT KM 7.0 ke Jalan Johar juga ditutup sepenuhnya mulai tarikh tersebut bagi membolehkan kerja-kerja cerucuk dan kerja-kerja pengalihan paip air pembentung dilaksanakan.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi isyarat papan tanda di tapak sebagai panduan dan langkah keselamatan bagi mengelak kekeliruan dan sebarang kesulitan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA