Pengasas Malaysia Berdaya, Hasya Hashim berkata, secara tidak langsung dasar itu juga memaksa belia untuk bersedia dan matang lebih cepat.
“Anak muda sinonim dengan sentimen segelintir masyarakat yang berpendapat, usia adalah penghalang kepada seseorang belia untuk menjadi ketua.
“Kumpulan ini terperangkap dalam pemikiran bahawa orang yang berusia lebih berpengalaman dan matang untuk memimpin.
“Maka, penurunan had umur belia ini sebenarnya secara tidak langsung memaksa anak muda kita untuk jadi matang lebih cepat,” katanya.
Dialog Anak Muda
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Anak Muda terbitan Astro AWANI pada Jumaat.
Justeru, menurut Hasya, silibus pendidikan pembangunan karakter yang kini diterapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi murid sekolah sehingga Tingkatan Lima, adalah sangat signifikan.
Ini bagi membantu belia mempersiapkan diri untuk berdepan dengan rencam dan realiti kehidupan masyarakat.
“Apabila mereka sudah capai tahap matang dari segi pembentukan minda dan karakter di sekolah, mereka akan dapat menembusi masyarakat dengan karakter kepimpinan itu,” ujarnya.