SHAH ALAM: Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggani dilanggar sebelum mangsa digilis sebuah lori treler dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari tadi, di Jalan Klang Utama, Klang hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata dalam kemalangan yang berlaku berhampiran dengan sebuah kilang minuman itu, mangsa telah diseret sejauh kira-kira 6 meter.

Ahmad Mukhlis berkata mangsa yang berusia 19 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha SS110 dipercayai sedang dalam perjalanan dari Kapar menuju ke Klang.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Utara telah digerakkan ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA