Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh bahagian tepi sebuah kereta yang terbabas dan terbalik di laluan kiri jalan dalam kejadian di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) malam tadi.

Nahas berlaku dekat Kilometer 452 arah Rawang ke Sungai Buloh dalam keadaan hujan renyai kira-kira jam 10 malam.

Menurut maklumat awal dari Polis Trafik Sungai Buloh, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke penghadang jalan sebelum terbalik di laluan kiri.

Mangsa yang datang dari arah sama dipercayai gagal mengelak lalu merempuh kenderaan berkenaan.

Difahamkan, pemandu kereta yang mengalami cedera ringan cuba memberi amaran secara manual namun keadaan yang gelap sukar dilihat.



Mangsa dikenali sebagai Nasir Ismail bertugas di KL Sentral, berusia 54 tahun, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di badan dan kepala.

Mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk urusan selanjutnya.