SEREMBAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas langgar sebuah tayar lori yang bergolek dari arah bertentangan di kilometer 266.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati kejadian pada jam 7.30 pagi itu berlaku ketika mangsa lelaki berusia 47 tahun menunggang motosikal dari arah Sikamat menuju ke Putrajaya.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa telah terlanggar sebuah tayar lori yang sedang bergolek dari arah bertentangan yang masuk ke laluannya.

"Akibatnya motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas ke kiri melanggar besi kiri penghadang jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, berikutan itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan telah disahkan maut di lokasi kejadian.

"Sementara itu, lori yang terlibat berserta pemandunya iaitu lelaki berumur 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 016-2895801 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222 bagi membantu siasatan.

"Kes seterusnya disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya. - Sinar Harian