Penulis buku Syed Hussein Al-Attas yang ditahan Khamis ketika menjual buku beliau yang dikatakan menghina Sultan Johor, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), lokasi Perhimpunan Agung Umno ke-66, telah dibebaskan dengan ikat jamin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata Syed Hussein, juga dikenali sebagai Pak Habib, 71, ditahan kira-kira pukul 11 pagi dan dibawa ke bilik gerakan polis di PWTC untuk diambil keterangan.

"Kira-kira pada pukul 4 petang kami telah bebaskan dia dengan ikat jamin," katanya ketika dihubungi.

Polis turut merampas 13 buah buku hasil tulisan Pak Habib, yang juga bapa kepada blogger dan pengamal paranormal Syed Abdullah atau Uncle Seekers, yang sebelum ini pernah ditahan polis kerana didakwa memfitnah Sultan Johor di blognya www.uncleseekers.blogspot.com.