KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap dapat mengapungkan harga ayam yang kini ditetapkan pada RM8.90 sekilogram, susulan penamatan subsidi 60 sen setiap kilogram kepada penternak sejak 5 Feb lepas.

Pengarah Ayam Bismi Empire Sdn Bhd (Ayam Bismi) Mazlina Kamaruddin berkata penamatan subsidi itu sudah dijangka kerana menurut pengumuman asal Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), subsidi tersebut diberikan hanya sehingga bulan ini.

"Kita pun sebagai penternak tak akanlah nak berharap kerajaan memberi subsidi sepanjang perniagaan kita.

"Cumanya saya berharap apabila subsidi tidak lagi diberikan, harga ayam dapat diapungkan, dengan tamatnya subsidi, tamatlah juga harga kawalan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata sekiranya langkah untuk menamatkan subsidi itu disertakan dengan pengapungan harga ayam, konsep permintaan dan penawaran akan menentukan harga ayam dari semasa ke semasa.

Harga Ayam | Subsidi penternak ditarik, pengguna bimbang harga melambung

Beliau turut bersetuju dengan tindakan kerajaan untuk menyalurkan subsidi tersebut secara langsung kepada rakyat yang lebih memerlukan dengan harapan bantuan tersebut akan kembali kepada penternak dalam bentuk pembelian ayam.

Ditanya mengenai laporan media bahawa terdapat dalam kalangan penternak yang tidak menuntut bayaran subsidi, Mazlina berkata ia satu kenyataan yang kurang tepat.

"Dengan keadaan penternak yang jual di bawah kos RM8.90 harga runcit dan harga ayam hidup RM6.05, juga harga bawah kos, jadi semestinya penternak akan menuntut dan membuat permohonan subsidi itu.

"Rakan-rakan kami di seluruh Malaysia, apabila ditanya, semua membuat tuntutan subsidi cumanya tuntutan itu dihantar kepada pejabat daerah seterusnya ke pejabat negeri sebelum dihantar ke Putrajaya, jadi di mana missing link itu, kami tidak tahu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS) Idrus Zainal Abidin berkata kenaikan harga bahan menjadikan kos pembinaan reban ayam semakin tinggi.

"Dua tahun dulu saya buat reban saya untuk kapasiti 80,000 ekor ayam hanya RM1.6 juta sahaja, kalau tengok (kenaikan) harga besi sudah jadi RM2 juta sekarang.

Katanya hampir mustahil untuknya membina lagi reban kerana banyak syarat dan cukai yang dikenakan ke atas penternak.

-- BERNAMA