Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru pentadbir dan penjawat awam di Kedah agar menjauhi amalan rasuah, salah guna kuasa dan menyeleweng amanah yang diberikan.

Baginda bertitah, pentadbir bukan sahaja perlu dilihat bersih malah mengamalkan nilai-nilai bersih dan bebas daripada segala elemen korupsi dan nepotisme untuk membolehkan masyarakat umum yakin dengan ketelusan pentadbiran yang dijana.

"Beta menyarankan agar jentera pentadbiran menampilkan kewibawaan dan tumpuan kepada peningkatan produktiviti dengan komitmen yang tinggi."

"Elemen-elemen inilah akhirnya yang membawa kepada pemilihan positif dalam kalangan masyarakat bahawa jentera pentadbiran memiliki integriti dan kredibiliti yang tinggi," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-89, di Istana Anak Bukit, di sini, pagi tadi.