DILI: Pensyarah dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Khoo Ying Hooi hari ini mencipta sejarah apabila dilantik sebagai penasihat kerajaan Timor-Leste untuk Lembaga 'Centro Nacional Chega!' (CNC).


Ringkasan AI
  • Prof Madya Dr Khoo Ying Hooi dari Universiti Malaya dilantik sebagai penasihat kerajaan Timor-Leste untuk Lembaga 'Centro Nacional Chega!' (CNC).
  • Beliau adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang menjadi Anggota Dewan Penasihat Antarabangsa (IAC), dilantik oleh Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao.
  • Pelantikan ini memberi peluang kepada Malaysia untuk memainkan peranan penting dalam hubungan ASEAN, terutama sebagai Pengerusi ASEAN 2025.


Ying Hooi dari Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang dilantik secara rasmi sebagai Anggota Dewan Penasihat Antarabangsa (IAC).

Beliau merupakan seorang daripada 9 sosok intelektual dan pakar merentasi pelbagai bidang dari pelbagai negara yang dilantik secara rasmi oleh Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao untuk membantu kerajaan dalam melestarikan sejarah Timor-Leste dan proses penyatuan negara.

Menurut Pengarah Eksekutif CNC, Hugo Fernandez, kesemua anggota penasihat dipilih oleh PM Xanana sendiri dan bakal menumpahkan khidmat membantu CNC untuk tempoh tiga tahun.

“Mereka di sini untuk memberikan dukungan dan nasihat strategik khususnya bidang sejarah, pembinaan negara pasca konflik, penyatuan nasional Timor-Leste, pemerkasaan anak muda dan pembangunan bakat serta tadbir urus,” jelas Hugo kepada media selepas mesyuarat bersama IAC di sini, hari ini.

Sementara itu, Ying Hooi menyifatkan pelantikan ini membuka ruang untuk Malaysia yang bakal menjadi Pengerusi ASEAN 2025 untuk memainkan peranan signifikan meletakkan CNC dan Timor-Leste di atas peta ASEAN dengan lebih strategik.

“Selain hubungan baik yang sedia terjalin antara Malaysia dan Timor-Leste, ‘Kepengerusian ASEAN 2025’ membuatkan Malaysia lebih strategik untuk mengeratkan hubungan antara Timor-Leste dan ASEAN selain mempromosi keamanan dan mengeratkan hubungan sosial antara rakyat Malaysia dan Timor-Leste,” kata Ying Hooi dalam mesej ringkasnya kepada Astro AWANI selepas mengadakan pertemuan pertemuan bersama PM Xanana serta mesyuarat bersama wakil-wakil kepimpinan kerajaan di sini siang tadi.