Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 45 tahun itu mendakwa terlibat dengan penipuan pelaburan berasaskan bitcoin setelah mengenali seorang individu menerusi aplikasi Tinder.
Beliau berkata mangsa telah ditawarkan peluang pelaburan dengan pulangan bonus 45 peratus sekiranya melabur sebanyak RM100,000.
"Lelaki itu telah tertarik dengan tawaran tersebut setelah memperolehi keuntungan pelaburan daripada dua transaksi awal.
"Namun, selepas melabur keseluruhan wang berjumlah lebih RM153,000 dengan melakukan lapan transaksi ke akaun diberikan antara 28 Okt hingga Rabu lepas, akaun pelaburan mangsa telah disekat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata susulan itu mangsa yang menggunakan wang simpanan dan pinjaman peribadi untuk melabur tidak dapat mengeluarkan wang keuntungan dijanjikan dan mengesyaki dirinya telah ditipu, justeru membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA