PUTRAJAYA: Penjimatan yang dianggarkan sebanyak RM4 billion daripada penyasaran subsidi diesel dijangka memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan dalam usaha mempertingkatkan lagi kualiti pelbagai perkhidmatan yang menjadi kepentingan kepada rakyat.


Ringkasan AI
  • Penjimatan Subsidi Diesel: Kerajaan akan menjimatkan RM4 bilion melalui penyasaran subsidi diesel, membolehkan lebih banyak dana untuk infrastruktur dan perkhidmatan awam.
  • Program Budi MADANI: Kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel akan mendapat manfaat, termasuk bantuan tunai RM200 sebulan untuk pemilik kenderaan persendirian, petani kecil, dan pekebun kecil.
  • Peningkatan Kualiti Perkhidmatan: Penjimatan ini akan digunakan untuk meningkatkan kualiti jalan raya, sekolah, dan perkhidmatan kesihatan, serta mencegah kenaikan harga barangan oleh sektor penerima subsidi.


Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pada tahun 2022, sebanyak RM81 bilion telah digunakan untuk subsidi dan sokongan sosial, dan jumlah tersebut berkurangan pada tahun lepas iaitu, kurang daripada RM70 billion untuk tujuan yang sama.

"Jadi kalau kita peruntuk daripada bajet RM307 bilion iaitu untuk operasi, maka ruang untuk membelanjakan perkara-perkara yang lebih penting untuk masa depan menjadi kurang.

"Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel ialah untuk menyediakan ruang fiskal yang lebih luas," kata beliau ketika sesi penerangan bersama editor-editor kanan di Kementerian Kewangan, baru-baru ini.


Pertingkat kualiti perkhidmatan, jaga kebajikan rakyat

Amir Hamzah berkata dengan penjimatan tersebut, kemudiannya boleh dibelanjakan dalam pengurusan negara, terutamanya bagi menambah baik perkhidmatan yang diperlukan rakyat, antaranya infrastruktur, seperti jalan raya, sekolah, perkhidmatan dalam sektor kesihatan seperti klinik, ubat dan sebagainya.

"Apa yang kita dapat (daripada penjimatan) kita akan gunakan untuk meningkatkan lagi (kualiti) perkhidmatan untuk rakyat. Kalau kita tidak laksanakan (penyasaran subsidi diesel), kita tidak boleh buat penjimatan serta sukar bagi kerajaan menambah baik perkhidmatan dalam negara," tambah beliau.

Beliau berkata pelaksanaan penyasaran subsidi diesel juga dilaksanakan dengan mekanisme yang sebaiknya serta menitik beratkan golongan sasar yang perlu dibantu.

"Kita berikan (subsidi) dalam sektor-sektor yang sepatutnya dan penjimatan (yang kita dapat) kita labur semula pada infrastruktur, sekolah dan apa sahaja perkhidmatan yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan. Inilah usaha (berterusan) kerajaan," tambah beliau.


Penyaluran subsidi diesel bersasar menerusi BUDI MADANI

Menjelaskan mengenai penyaluran penyasaran subsidi diesel yang dinamakan 'Budi MADANI', beliau berkata ia merangkumi lima elemen iaitu pengangkutan awam, nelayan, kenderaan komersial terpilih di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0), individu serta petani termasuk pekebun kecil.

Secara keseluruhannya, BUDI MADANI akan memanfaatkan 700,000 pemilik kenderaan diesel. Ini meliputi kira-kira 50 peratus kenderaan diesel aktif di Semenanjung Malaysia.

Daripada 700,000 penerima BUDI MADANI, 300,000 kenderaan diesel tersebut ialah milik persendirian, yang mana selebihnya ialah kenderaan komersial.

Sejak 2013, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), telah menerajui pelaksanaan tadbir urus subsidi diesel dengan kadar harga khas berbeza dengan harga runcit di stesen-stesen minyak. Pelaksanaan ini mengguna pakai Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 beserta fleet card yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat minyak melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam.

Bermula 7 Mac, 2024, pelaksanaan sistem ini diperluaskan melalui SKDS 2.0 Fasa 1 meliputi tambahan kepada sembilan jenis kenderaan pengangkutan barangan dan diperluaskan kepada SKDS 2.0 Fasa II melibatkan tambahan 14 jenis kenderaan barangan lain.

Pada Isnin lalu (27 Mei), Kementerian Kewangan mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI iaitu melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

Program BUDI MADANI melengkapi usaha sedia ada kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel melalui sistem MySubsidi Diesel kendalian KPDN, yang mana SKDS merupakan program di bawah MySubsidi Diesel.

Di bawah BUDI MADANI, pemberian bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan diberikan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

Tambah Amir Hamzah, mengikut kajian yang dilakukan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan itu dijangka memadai untuk menampung kenaikan harga diesel berdasarkan perjalanan kenderaan diesel sehingga 60 kilometer sehari dan dengan itu, sekali gus memenuhi keperluan kebanyakan pemilik kenderaan diesel individu.

Beliau berkata penerima diesel bersubsidi seperti sektor logistik dan penjaja serta peniaga kecil perlulah menganggap subsidi yang diterima daripada kerajaan sebagai trade off untuk tidak menaikkan harga barangan atau perkhidmatan.

"KPDN selepas ini (bersama), kita (kerajaan akan) terus memperhebatkan operasi untuk mengekang profiteering (pencatutan)," kata Amir Hamzah.

-- BERNAMA