PUTRAJAYA: Penjawat awam diseru menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat selaras ganjaran dan keprihatinan kerajaan terhadap mereka dalam Belanjawan 2025.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata kerajaan jelas tidak meminggirkan kebajikan penjawat awam apabila menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM500.

"Semasa pembentangan belanjawan baru-baru ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi kita melihat bahawa kerajaan tidak pernah mengetepikan penjawat awam.

"Walaupun telah memberi pelarasan gaji, kerajaan masih lagi memberikan BKK untuk (penjawat awam) menghadapi (sesi) persekolahan dan juga (melakukan) persiapan pada hari raya," katanya kepada pemberita selepas mengetuai majlis menandatangani opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bersama 75 warga kerja Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) daripada pelbagai kumpulan perkhidmatan di sini hari ini.

Justeru itu, beliau meminta penjawat awam membalas keprihatinan kerajaan dengan menyalurkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Pada Belanjawan 2025, kerajaan bersetuju memberikan BKK sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak serta RM250 untuk pesara yang akan disalurkan pada Februari 2025.

-- BERNAMA