KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti pembangkang menyifatkan keadaan pengurusan sekolah-sekolah kerajaan dalam mendepani pandemik COVID-19 ketika ini 'semakin cacamarba'.

Susulan itu, menerusi satu kenyataan bersama lapan pemimpin politik, mereka mendesak Menteri Kanan (Pendidikan) dan dua timbalan menterinya supaya meletak jawatan.

"Apa yang berlaku kini, pihak pengurusan sekolah ramai yang hilang arah dan punca apabila peningkatan kes di sekolah, tetapi mereka tidak dipersiap untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di kala sekolah ditutup.

"Malah, pemberian 150,000 komputer riba yang dijanjikan kerajaan masih tidak kelihatan.

"Rakyat umumnya kabur tentang hala tuju dan pelan tindakan terancang pihak kementerian berkaitan pendidikan di kala pandemik, kerana tidak wujud ketelusan maklumat dari Kementerian Pendidikan (KPM) kepada rakyat," kata mereka hari ini.

[TERKINI] Kluster Pendidikan | Menteri, Timb. Menteri KPM digesa letak jawatan


Kenyataan tersebut dibuat Ahli Parlimen PH dan parti pembangkang yang terdiri daripada Dr Maszlee Malik selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH, Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Teo Nie Ching (DAP), Datuk Dr Hasan Baharom (Parti Amanah Negara), DSP Wilfred Madius Tangau (Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu atau UPKO), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Parti Malaysian United Democratic Alliance atau MUDA), Datuk Amiruddin Hamzah (Parti Pejuang Tanah Air) dan Ahmad Hassan (Parti Warisan Sabah).

Mereka berkata, kemarahan rakyat, terutamanya para guru, pentadbir sekolah dan ibu bapa, berhubung lemahnya pengendalian kerajaan dan KPM terhadap situasi terkini dapat dilihat di media sosial.

"Atas kesedaran ini, kami mewakili semua Ahli Parlimen PH dan parti-parti pembangkang yang lain mendesak agar Menteri Pendidikan beserta kedua-kedua timbalannya berundur demi masa depan rakyat dan negara tercinta.

"Kami mengambil maklum kegelisahan yang dialami para guru, ibu bapa/penjaga, pelajar dan masyarakat berkaitan kes COVID-19 melibatkan kluster pendidikan yang semakin meningkat mutakhir ini.

"Kami juga maklum bahawa usaha pembukaan sekolah secara berperingkat pada tahun ini, yang dilakukan tergesa-gesa sejurus tidak lama selepas PdPR diumumkan, tanpa disertai penerangan yang jelas kepada masyarakat," tegas mereka.

Tambah mereka lagi, KPM tidak mewujudkan pelan dan mekanisme pembelajaran dalam norma baharu melibatkan sekolah, jika terdapat kes-kes positif COVID-19 di sekolah apabila ia dibuka.

KPM ketika ini di bawah pentadbiran Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin, dengan dibantu Timbalan Menteri Datuk Dr Mah Hang Soon dan Muslimin Yahaya.

Bagaimanapun, pada masa sama, Pakatan Harapan (PH) mengiktiraf usaha bersepadu pihak pengurusan sekolah dan para guru di seluruh negara dalam mematuhi SOP yang diberikan.

"Kami akur bahawa usaha mengekang COVID-19 dari merebak, lantas memutuskan rantaian jangkitan wabak, menuntut usaha bersepadu semua pihak tanpa kompromi dengan mana-mana individu mahupun keadaan, demi memastikan keberkesanan usaha terangkum tersebut," jelasnya.