KUALA LUMPUR: Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shahrum Nizam Baharuddin telah menggunakan sebahagian wang rampasan organisasi itu berjumlah AS$6.94 juta untuk kegunaan peribadinya dengan membeli pelbagai aset mewah termasuk rumah, kereta dan tanah.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa selain itu, sepanjang tempoh Shahrum Nizam, 41, memiliki dan diamanahkan terhadap wang rampasan tersebut, dia telah melupuskan sebahagian wang eksibit AS$6.94 juta dengan menukarkannya kepada Ringgit Malaysia melalui dua saksi.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati tertuduh telah membelanjakan RM2,713,730 untuk membeli aset-aset dari tempoh 17 Dis 2018 hingga kini.
"Hasil daripada penukaran wang itu, tertuduh telah menjadikan wang eksibit tersebut untuk kegunaan sendiri dengan membeli aset-aset mewah dengan membuat 13 kali transaksi bayaran secara tunai untuk membeli sebuah rumah dua setengah tingkat di Kota Warisan, Sepang.
"Tertuduh telah membeli jam tangan berjenama iaitu empat unit jam tangan jenama Hublot Big Bang, dua unit jam tangan jenama Tag Heuer dan dua unit jam tangan jenama Rolex secara tunai di sebuah kedai jam di Mid Valley City dengan nilai keseluruhan pembelian berjumlah RM397,580," katanya ketika membacakan fakta kes selepas Shahrum Nizam mengaku bersalah menyalahgunakan wang rampasan SPRM itu di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Ahmad Akram berkata tertuduh juga telah membeli sebuah kenderaan jenis 4x4 jenama Ford Raptor 2.0 secara tunai berjumlah RM219,000, membeli dua bidang tanah, masing-masing seluas 2.9967 hektar bernilai RM333,220 atas nama tertuduh dan 1.244 hektar bernilai RM150,000 atas nama isterinya di Jerantut, Pahang.
"Dia juga membeli sebuah kereta jenis Honda Civic Type R 2.4L Turbo bernilai RM290,030 yang mana pembayaran dibuat secara tunai berjumlah RM265,930 dan membeli sebuah motosikal Ducati 1299 Panigale R Final Edition bernilai RM278,000 dan sebuah lagi motosikal Ducati 1199 Superleggera bernilai RM300,000 yang mana pembelian motosikal itu telah dibuat dengan cara 'trade in' motosikal Panigale 1199R oleh tertuduh berjumlah RM110,000 manakala sebahagian lagi RM190,000 dibayar lima kali oleh tertuduh kepada kedai motosikal.
"Selain itu, tertuduh turut membeli sebuah kereta Mercedes Benz A250 Sport secara tunai bernilai RM130,000," katanya.
BACA: Penguasa Kanan SPRM dipenjara tiga tahun, dua sebatan salah guna wang rampasan AS$6.94 juta
Menurut Ahmad Akram, pada 21 Sept 2021 di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, SPRM telah menyita wang tunai berjumlah RM1.6 juta daripada seorang saksi yang tertuduh telah menyerahkan wang tersebut kepada saksi itu untuk dijadikan modal perniagaan balak.
Katanya pada 24 Sept 2021 SPRM telah menyita sebuah beg bagasi mengandungi wang tunai berjumlah AS$4.07 juta di Wisma D.H.R, Kampung Tanjung Mas, Kota Bharu, Kelantan, daripada saksi sama yang diserahkan oleh tertuduh kepada saksi itu untuk disimpan bagi dijadikan modal perniagaan tertuduh kelak.
Mengenai wang dalam bentuk wang kertas USD yang tersimpan dalam kabinet besi milik tertuduh yang telah diserahkan kepada Bahagian Penyelidikan (RD), Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 10 Sept 2021, Ahmad Akram berkata pihak SPRM telah menjalankan siasatan lanjut dengan memeriksa dan membuat pengiraan semula terhadap wang tersebut.
"Hasil pemeriksaan dan pengiraan mendapati terdapat 69,232 keping cetakan kertas berupa wang not USD berada dalam kabinet besi itu. Pemeriksaan oleh saksi pakar bernama Fazri Mohd Zain juga mengesahkan bahawa cetakan wang kertas tersebut adalah palsu.
"Cetakan wang palsu itu digunakan tertuduh untuk mengelirukan pegawai penyiasat kes sehingga ia dibawa untuk diserahkan kepada pihak RD JPM," katanya.
Ahmad Akram berkata tindakan Shahrum Nizam menukarkan wang barang kes berjumlah AS$6.94 juta dengan cetakan kertas berupa wang USD palsu menyebabkan reputasi SPRM terjejas dan menyebabkan kerugian yang salah.
Menceritakan mengenai operasi yang dijalankan SPRM, Ahmad Akram berkata pada 26 Ogos 2018, tertuduh telah dilantik menjadi Ketua Operasi dalam Ops Dinar 2 berkaitan penyiasatan ke atas bekas Ketua Pengarah RD, JPM yang disyaki telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang milik kerajaan Malaysia.
Beliau berkata dalam operasi dan serbuan yang dibuat, SPRM telah merampas sejumlah AS$6.94 juta daripada beberapa lokasi termasuk dari sebuah kondominium di Cyberjaya dan perkarangan tempat letak kenderaan Hotel Shangri-La, Putrajaya.
"Wang rampasan tersebut kemudian telah diserahkan oleh pegawai penyiasat kepada Ketua Cawangan, Cawangan Tindakan Khas (KC CTK) untuk disimpan dalam peti besi. Pada 17 Dis 2018, Shahrum Nizam telah meminta KC CTK untuk menyerahkan sebahagian wang rampasan tersebut untuk pengiraan semula dan disahkan ketulenannya.
"Sebanyak US$1.9 juta daripada jumlah keseluruhan wang rampasan diserahkan kepada tertuduh bagi tujuan itu tetapi Shahrum Nizam hanya mengambil US$800,000 manakala bakinya diserahkan semula pada KC CTK," katanya.
Beliau berkata sebaik mengambil wang tersebut, Shahrum Nizam telah membawa wang AS$800,000 itu keluar daripada bangunan SPRM untuk ditukarkan kepada Ringgit Malaysia dengan bantuan seseorang di Kota Damansara yang mana hasil tukaran pada ketika itu ialah RM1.6 juta.
"Pada 9 April 2019, tertuduh sekali lagi meminta wang rampasan yang berada dalam simpanan KC CTK untuk proses pengiraan semula dan pemeriksaan keselamatan. Selepas diserahkan, Shahrum Nizam telah membawa keluar wang tersebut untuk ditukar kepada Ringgit Malaysia.
"Penukaran kali kedua tersebut membabitkan wang sebanyak AS$2,470,000 yang mana hasil tukaran ialah sebanyak RM9,880,000. Tertuduh turut menyerahkan sebuah beg berwarna ungu berisi AS$4.07 juta untuk disimpan oleh kenalannya untuk dijadikan modal perniagaan," katanya.
Shahrum Nizam dipenjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan wang rampasan SPRM berjumlah AS$6.94 juta untuk kegunaannya sendiri.
-- BERNAMA
Bernama
Fri Feb 18 2022
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah membelanjakan RM2,713,730 untuk membeli aset-aset dari tempoh 17 Dis 2018 hingga kini. - Gambar hiasan
SDG: UTP lahir pelajar berkemahiran, tinggi tanggungjawab sosial
UTP berhasrat mendidik pelajar bukan sahaja untuk mahir dalam aspek teknikal tetapi juga untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab.
MAA semak semula unjuran jualan kenderaan 2024 kepada 765,000 unit
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menyemak semula unjuran jualan kenderaan bermotor baharu bagi 2024 kepada 765,000 unit daripada anggaran sebelumnya sebanyak 740,000 unit.
RUU 355: Pindaan perlu untuk praktikaliti, keadilan
Apa sahaja pindaan terhadap akta itu perlu berjalan selari dengan persediaan mereka yang bertanggungjawab melaksanakannya.
Rasionalisasi RON95 dijangka beri impak lebih besar kepada PKS - SAMENTA
SAMENTA menjangkakan rasionalisasi RON95 akan memberi impak yang lebih besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berbanding pelarasan subsidi diesel.
Malaysia sasar pengeluaran 40 peratus sektor akuakultur menjelang 2030
Malaysia menyasarkan pengeluaran 40 peratus hasil sektor akuakultur menjelang 2030 dalam usaha membantu mengimbangi keperluan perikanan negara.
10 Berita Pilihan - (16 Julai 2024
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
PAC beri tempoh tiga bulan kepada HRD Corp
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memberi tempoh tiga bulan kepada Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) untuk mengemukakan laporan tindakan susulan terhadap syor jawatankuasa itu.
Kylian Mbappe tandatangan kontrak dengan Real Madrid
Bintang bola sepak Perancis Kylian Mbappe menandatangani kontrak selama lima tahun dengan kelab Sepanyol Real Madrid pada Selasa.
Pelepasan ketujuh air sisa nuklear Fukushima ke laut selesai
Jepun telah menyelesaikan pusingan ketujuh pelepasan air sisa radioaktif yang dirawat dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi ke Lautan Pasifik pada Selasa.
Empat termasuk kapten maut dalam pertempuran
Empat anggota tentera India termasuk kapten meninggal dunia akibat kecederaan selepas pertempuuran pada malam isnin di Hutan Desa.
Penguasa Kanan SPRM dipenjara tiga tahun, dua sebatan salah guna wang rampasan US$6.94 juta
Shahrum Nizam menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan ketika sebutan kes hari ini.