MERSING: Pengurusan hutan dan penggunaan tanah yang mapan bertujuan memelihara biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem, diharap dapat direalisasikan melalui pemerkasaan Penghijauan Koridor 'Central Forest Spine' (CFS).

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) Datuk Salim Aman berkata melalui inisiatif itu, lebih 3,000 anak pokok daripada spesies asli terutama pokok nadir dan spesies bukan dipterokarp (pokok hutan) akan ditanam termasuk Merbau, Tampoi, dan Kerdas di Hutan Simpan Mersing.

Beliau berkata Hutan Simpan Mersing merupakan sebahagian daripada koridor ekologi projek 'Improving Connectivity in the Central Forest Spine' (IC-CFS) dan subset kepada Kompleks Hutan Endau Rompin-Ulu Sedili yang merupakan kawasan habitat hidupan liar serta penempatan komuniti Orang Asli.

IC-CFS merupakan sprojek yang mula diperkenalkan pada 2014 bertujuan memulihara biodiversiti serta perkhidmatan ekosistem di landskap hutan berkepentingan dalam kawasan CFS, oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

"Aktiviti penanaman pokok bukan sahaja memberi manfaat kepada hidupan liar di sekitar koridor ekologi, bahkan antara kaedah dalam menggalakkan penyerapan karbon," katanya pada Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Penghijauan Koridor CFS di Hutan Simpan Mersing di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah JPNJ Abd Ramli Zauyahhudin.

Program dimeriahkan lagi dengan kehadiran influencer (pempengaruh) media sosial iaitu Hazeman Huzir, Shazz Zainuddin dan Schaffy Zainuddin yang turut menyertai aktiviti menanam pokok.

Salim berkata Penghijauan Koridor CFS seluas satu hektar itu melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), masyarakat Orang Asli serta wakil FELDA.

"Antara lain, ia menyediakan platform bagi pemuliharaan biodiversiti dan usaha rehabilitasi hidupan liar terutama dalam meningkatkan kesalinghubungan ekologi IC-CFS di sekitar Hutan Simpan Labis Timur-Lenggor-Mersing dengan pembiayaan daripada Global Environment Facility (GEF) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

"Selain itu, Hutan Simpan Endau Rompin sebagai kawasan kepelbagaian mega-mikrob kedua terbesar negara merupakan satu titik tambah ke arah pemuliharaan rangkaian kritikal IC-CFS di Kompleks Hutan Endau Rompin-Ulu Sedili yang merupakan penempatan masyarakat Orang Asli, bertepatan dengan hasrat memulihara kawasan terjejas dan mengiktiraf peranan masyarakat tersebut dalam melindungi hutan," katanya.

Sebagai rekod, JPNJ menyasarkan empat juta pokok ditanam dalam tempoh lima tahun bagi menjayakan agenda penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara menjelang 2025 dengan purata 800,000 pokok setahun.

-- BERNAMA