Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan mencadangkan penggunaan kaedah Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) menjadi syarat wajib bagi permohonan Kebenaran Merancang atau Perintah Pembangunan, dan Pelan Bangunan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mekanisme itu selaras dengan keputusan jemaah menteri pada 9 September 2015 yang bersetuju mewajibkan pelaksanaan penggunaan kaedah IBS bagi projek RM50 juta dan ke atas bagi projek sektor swasta.

"Walau bagaimanapun, kejayaan itu (mekanisme itu) bergantung kepada pihak Kerajaan Negeri sama ada untuk menerima pakai syarat tersebut serta memastikan pelaksanaannya di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-71 di Dewan Persidangan ICU, Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Semasa pembentangan Bajet 2016, Perdana Menteri mengumumkan dana khas promosi IBS sebanyak RM500 juta diberikan melalui SME Bank kepada pemaju dan kontraktor kategori G5 dan ke bawah.

IBS merupakan satu teknik pembinaan di mana komponen dikilangkan dalam persekitaran yang terkawal sama ada di dalam atau di luar tapak pembinaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan MNKT diadakan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi mengkoordinasi dasar-dasar negara antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Malah, penganjuran Persidangan World Urban Forum (WUF) ke-9 pada 7 hingga 13 Februari 2018 di ibu negara, akan menjadi plaform kepada Malaysia untuk berkongsi mengenai inisiatif perbandaran yang sekali gus menunjukkan komitmen negara dalam menjayakan New Urban Agenda.

Justeru, 13 kertas mesyuarat mesyuarat telah dibincangkan termasuk melibatkan kesedaran terhadap kebersihan awam dan penguatkuasaan oleh PBT.

Mesyuarat juga membincangkan usaha mewujudkan garis panduan Tadika dan Taska dengan persekitaran yang selamat, bebas halangan untuk kanak-kanak, penjaga, pengguna lain dalam bangunan bertingkat dan persekitaran pembelajaran yang berkualiti tinggi.

"Mesyuarat turut membincangkan pelaksanaan inisiatif ke arah memulihara alam sekitar seperti mengawal pembangunan chalet atas air agar kawasan tarikan semula jadi sentiasa terpelihara dan mewajibkan pemasangan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH) yang boleh mengurangkan permintaan bekalan air awam," katanya lagi.

Selain itu, mesyuarat turut menggalakkan proses pewartaan terhadap cadangan pindaan Undang- undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS 1984) (pindaan 2012) oleh Kerajaan Negeri agar pelaksanaan menyeluruh dapat dikuatkuasakan secara seragam oleh PBT.