Pensyarah Kanan Pengajian Sains Maklumat UiTM, Dr A’dillah Mustafa berkata orang ramai tidak perlu takut dengan kenyataan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan mengambil alih peranan manusia dalam sektor pekerjaan.
"Hal ini tidak perlu dijadikan kebimbangan sebaliknya dijadikan satu nilai tambah dalam pekerjaan kita. Kita harus sedar teknologi tidak menggantikan kita, tetapi membuatkan kita lebih efisyen, berkesan.
"Tetapi kita perlu ada integriti yang tinggi dalam menggunakan teknologi atau apliksai AI kerana kita sangat terdedah kepada penyalahgunaan teknologi sekarang. Ini sangat penting untuk kita sedar kerana salah guna akan membawa kepada kesan perundangan," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Jelas beliau lagi, kepakaran dalam penggunaan AI memberikan kelebihan kepada golongan graduan tampil berbeza di dalam proses temuduga.
Ini kerana, banyak syarikat pada masa kini mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu yang memerlukan kemahiran teknologi tinggi dan terkini.
"Penggunaan AI ini adalah satu benda boleh dan saya sangat menekankan dikuasai oleh graduan dalam semua bidang kerana dia akan memberikan kita berdiri di antara yang lain, apabila kita melalui proses temuduga.
"Di luar industri mencari perbezaan yang ada dalam kualiti graduan kita. Yang kedua penting untuk graduan kerana ini menjamin kebolehpasaran anda untuk jangka masa panjang. AI dilihat sebagai salah satu future proof services yang mana akan digunakan lebih panjang lebih lama," katanya.