Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) berhubung kedudukan jawatan pengerusi BN Kedah.

Namun, pada masa yang sama Mukhriz menyatakan kesediaan menggalas tanggungjawab itu jika diminta berbuat demikian.

"Yang tu (jawatan pengerusi) kita tunggulah. Saya tak tau, saya pun tunggu (keputusan pucuk pimpinan BN), kalau benar saya sanggup ambil alih tanggungjawab besar ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Makan Malam Ulang Tahun Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia ke-40, di sini malam tadi."

Mukhriz yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kedah mengulas kenyataan Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah pada Ahad lepas, yang dilapor bersedia melepaskan jawatan itu bagi memastikan BN kekal menguasai Kedah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ahmad Bashah yang berharap Mukhriz akan mengambil alih jawatan itu turut menyatakan azam untuk membantu Menteri Besar Kedah berkenaan memastikan negeri tersebut kekal di tangan BN pada PRU14.

Pastikan anda tidak terlepas berita terkini. Muat turun aplikasi percuma AstroAWANI di App Store dan Google Play.