PELABUHAN KLANG: Pengendali pelabuhan kini berdepan dengan persaingan sengit dan dinamik di rantau ini sekali gus perlu meningkatkan keupayaan dan kapasiti sebaik mungkin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sama seperti industri lain, syarikat pelabuhan tidak boleh bergerak sendirian sebaliknya terus berganding bahu untuk bergerak pantas ke hadapan.

Tegas beliau, sekiranya mereka masih dibuai kejayaan kecil masa lampau, ia akan membuatkan pengendali pelabuhan terus ketinggalan.

“Kita tidak boleh bergerak berasingan, ini kerana berdepan dengan persaingan di rantau yang dinamik dan sangat hebat.

“Dan kalau kita lembap dan anggap kejayaan kecil cukup membanggakan kita, akan ketinggalan.

“Kita tidak berjaya dan cemerlang jika tidak melakukan transformasi dalam memudahkan perniagaan dalam cara efisien dan lebih penting mengelakkan ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pecah tanah Westport 2 di Pelabuhan Klang pada Jumaat.

Westports 2 bukan hanya sekadar projek pengembangan pelabuhan malah merupakan langkah penting dalam memastikan masa depan Malaysia terjamin sebagai hab maritim dan logistik global.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah memaklumkan, dengan pembangunan lapan terminal kontena baharu, dari Terminal Kontena Sepuluh (CT10) hingga Terminal Kontena Tujuh Belas (CT17), pihak Westport bersedia menggandakan kapasiti pengendalian kontena dalam masa terdekat.

“Kami bersedia untuk menggandakan kapasiti pengendalian kontena kami daripada Empat Belas juta TEU kepada Dua Puluh Lapan juta TEU.

“Pembinaan Terminal Kontena baru ini adalah penting bukan sahaja untuk memenuhi permintaan semasa tetapi juga untuk bersedia bagi pertumbuhan dalam jumlah perdagangan yang dijangka meningkat dalam dekad akan datang,” katanya.

Tambah beliau, sembilan Terminal Kontena sedia ada di Westports kini beroperasi pada kadar penggunaan lapan puluh peratus dan ianya akan mencapai kapasiti maksimum dalam beberapa tahun akan datang.

Westports 2 akan mewujudkan zon bebas baharu dengan keluasan tanah, lima ratus lima puluh (550) ekar.  Kawasan zon bebas ini akan menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan merangsang lebih banyak Pusat Pengedaran Serantau dan Global seperti IKEA, Robert Bosch dan Marks & Spencer yang sedia ada di sini.

Westports 2 juga akan dibangunkan dengan automasi dan pendigitalan, dimana lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi akan diwujudkan untuk rakyat Malaysia.