Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang pengarah sebuah agensi kerajaan Persekutuan di Wilayah Persekutuan Labuan bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa dan menerima rasuah.

Menurut sumber, pengarah berusia 59 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada kira-kira 11.50 pagi tadi selepas lelaki itu datang ke pejabat berkenaan untuk memberi keterangan.

Susulan penahanan itu, SPRM membekukan 12 akaun bank milik pengarah tersebut dan anggota keluarganya yang mengandungi wang berjumlah kira-kira RM889,000.

"Ia merupakan sebahagian daripada jutaan wang yang dipercayai diperolehi melalui aktiviti rasuah oleh suspek. SPRM akan terus mengesan wang di akaun-akaun bank milik suspek dan anggota keluarganya kerana ia dipercayai telah dipindahkan," katanya kepada Bernama hari ini.

Selain itu, katanya, dua kontraktor berumur 40-an daripada satu syarikat ditahan di Ibu Pejabat SPRM Cawangan Labuan kira-kira pukul 6.30 petang tadi bagi membantu siasatan.

Sumber itu berkata, SPRM akan membuat permohonan reman terhadap kesemua suspek di Mahkamah Majistret Labuan esok untuk siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan. -- Bernama