Pasukan Liverpool FC muncul juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi selepas menumpaskan Tottenham Hotspur FC 2-0.

Di sebalik kemenangan itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad menyenaraikan beberapa pengajaran diperoleh daripada pasukan tersebut.

Antaranya, Liverpool berjaya menggilap bakat pemain Muslim seperti Mohamed Salah dan Sadio Mane sehingga menjadi pemain handalan dunia dan contoh ikutan karakter yang baik untuk peminat dan penyokong.

“Menariknya, kami membaca berita dari akhbar Arab Uqaz beberapa hari sebelum perlawanan, dinukilkan bahawa jurulatih Liverpool Jürgen Klopp tidak menghalang Mohamed Salah dan Sadio Mane untuk melakukan ibadat puasa.

“Sebaliknya beliau memberi galakan kerana hak kebebasan beragama. Itulah profesionalnya mereka. Permainan tetap cemerlang,” tulis beliau di akaun Facebook.


Tambah beliau, semangat tidak mudah mengalah dan segera membaiki pasukan meskipun tewas kepada Real Madrid tahun lepas menjadikannya sumber inspirasi kepada semua.

“Walaupun tidak berjaya menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini, mereka tidak terus mengalah dan kecewa, malah terus lebih kuat bersemangat.

“Kesabaran, ketabahan dan kekuatan mental Jürgen Klopp akhirnya berjaya mendapatkan trofi UCL, pertama kali dalam karier bola sepaknya dan trofi pertama bersama Liverpool setelah enam kali hanya bergelar naib juara di pentas akhir.

“Penantian panjang para penyokong Liverpool FC akhirnya terbalas jua selepas kali terakhir merangkul piala tersebut pada musim 2005,” ujarnya.

Dalam status sama, Zulkifli turut menitipkan pesanan buat penyokong kelab Tottenham Hotspurs yang tewas di tangan Liverpool awal pagi tadi.

“Kepada penyokong Tottenham Hotspurs, kami katakan sabarlah kerana itu adat permainan. Mungkin satu masa nanti anda pula akan menjadi juara.

“Semoga terus maju jaya. Begitu juga majulah sukan untuk negara kita Malaysia,” katanya.

Pagi tadi, Liverpool menamatkan penantian 14 tahun di pentas Eropah apabila menang 2-0 mengatasi lawannya sekaligus dinobatkan sebagai Juara UCL 2019.

Dua jaringan daripada Mohamed Salah dan Divock Origi memastikan kejuaraan milik Liverpool, menamatkan tahun 2019 dengan cemerlang.