Penerbangan AirAsia, menggunakan pesawat Airbus A330, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pada jam 9.20 (waktu tempatan) bagi membawa pulang segera rakyat Malaysia serta lebih 124 pelajar susulan ketegangan yang semakin memuncak di negara itu.
Menurut laporan Bernama, sebanyak 15 petugas dari Wisma Putra, Jabatan Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengikuti misi itu.
Terdahulu, Anwar berkata kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh kerana mengutamakan keselamatan mereka.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga memaklumkan akan bekerjasama dengan Kementerian Luar Negara (KLN) untuk menyediakan segala bantuan yang diperlukan semasa ketibaan rakyat Malaysia dari Bangladesh, termasuk kaunseling, penginapan dan logistik.
Ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai selepas mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018.
Kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara Sabtu lepas sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi.