PITAS: Penduduk di Mukim Kanibongan yang terletak kira-kira 25 kilometer daripada pekan Pitas terkejut dan tidak menyangka kampung mereka dilanda banjir besar kali ini kerana ia tidak pernah berlaku sejak 23 tahun lepas.

Rata-rata penduduk yang ditemui berkata kali terakhir kawasan berkenaan dilanda banjir besar ialah pada 1999 sehingga menenggelamkan banyak rumah di situ.

Aidil Mustapah Pusong, 50, penduduk tetap Kampung Pangkalan Kanibongan berkata setiap tahun, kampung berkenaan seringkali dilanda banjir tetapi tidak seteruk kejadian Ahad lepas.

Kali ini rumahnya yang terletak kira-kira 20 meter daripada sungai Kanibongan terkena banjir walaupun tiang rumah setinggi 18 kaki.

"Air mula naik pukul 1 tengah hari pada Ahad lepas ekoran hujan lebat tidak berhenti sejak Sabtu.

"Mulanya saya menyangka air hanya naik seperti biasa namun, kali ini ia berbeza....air naik dengan cepat.

"Dalam satu jam air sudah naik sehingga 18 kaki setinggi rumah saya dan air sudah memasuki ke dalam rumah.

"Kedai runcit dan bengkel kenderaan di bawah rumah digenangi air sekelip mata," katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kampung Sinukab dekat sini.

Penduduk Kampung Pias Kanibungan Pitas, Sinupiying Mosingkat menunjukkan lantai kedai makannya yang dibawa arus deras ketika banjir di Kanibungan Ahad lepas. --fotoBERNAMA
Pitas sebuah daerah di kawasan utara Sabah terletak kira-kira 195 kilometer dari Kota Kinabalu.

Seorang lagi mangsa banjir, Cyrus Masikah, 34, berkata banjir kali ini menjadi sejarah buat dirinya apabila rumahnya dinaiki air sehingga bahagian atap.

"Selama saya tinggal di kampung ini sejak lahir, ini kali pertama saya berdepan banjir luar biasa seperti ini. Tidak pernah air naik setinggi ini sehingga menenggelamkan jalan kampung yang terletak di kawasan tinggi.

"Dulu pada 1999 saya dengar banjir seperti ini berlaku namun saya tidak ingat peristiwa berkenaan.

"Rumah yang saya tinggal sekarang dihuni bersama isteri dan seorang anak sejak tiga tahun lepas dan segala barangan keperluan musnah," katanya.

BACA: 559 mangsa banjir Pitas masih berlindung di dua PPS pagi ini

BACA: Situasi banjir Sabah tidak berubah malam ini

Cyrus berkata beliau mengalami kerugian hampir RM10,000 apabila pelbagai barangan seperti petis ais, tilam dan hampir semua peralatan rumah musnah dan dihanyutkan banjir.

"Hanya dokumen penting yang sempat diselamatkan kerana air naik begitu cepat," tambahnya.

Seorang warga emas Karim @Ayah Magaud, 64, dari Kampung Batu 10, Kanibongan berkata banjir yang berlaku di kampung mereka pada kali ini sangat luar biasa dan semua orang tidak menyangka ia akan berlaku.

"Selalunya kalau hujan lebat pun, air banjir akan naik sehingga ke paras lutut dan ia tidak begitu menjejaskan penduduk kerana kebanyakan rumah mempunyai tiang.

"Namun kali ini, rumah yang bertiang tinggi juga dinaiki air.

"Apa yang menyedihkan, tiada penduduk yang sempat memindahkan kenderaan masing-masing ke tempat yang lebih tinggi kerana air naik secara mendadak dan masing-masing hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sebelum berpindah ke PPS dengan bantuan pasukan penyelamat," katanya.

-- BERNAMA