Perniagaan terpaksa dihentikan, terpaksa menanggung kerugian malah harus berpindah keluar dari rumah masing-masing berikutan masalah air yang berlarutan hampir sebulan.

Walaupun beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan air sejak sabtu lepas, penduduk di sekitar Jalan Gurney dan Keramat mendakwa mereka telah mengalami masalah gangguan tekanan air rendah sejak pertengahan bulan lalu.

"Sudah hampir seminggu saya terpaksa menutup warung kedai disebabkan tekanan air rendah yang berlarutan sejak tiga minggu lalu oleh kerana itu pendapatan saya terjejas teruk", menurut Tuan Mat Tuan Ismail .

Keperluan air bersih untuk anak-anak kecil menjadi sebab utama segelintir penduduk memilih untuk berpindah ke rumah saudara-mara sekitar Kuala Lumpur.

"Anak saya yang sepatutnya menyambung sesi persekolahan baru-baru ini terpaksa ditangguh berikutan kesulitan yang berlaku berpunca dari ketiadaan air", menurut Khairi Abdullah.

Pihak Syabas ketika dihubungi menyatakan masalah gangguan air yang berlaku di sekitar Jalan Semarak dan Gurney lansung tiada kena mengena dengan gangguan air yang diumumkan 30 Disember lepas.

“Besar kemungkinan terdapat kerosakkan paip yang berlaku di kawasan itu, bagaimanapun kawasan itu sudah tersenarai diantara yang bakal mengalami gangguan air yang diumumkan baru- baru ini.

Tambahnya, gangguan air yang berlaku sejak minggu lalu adalah disebabkan kerosakkan sistem melibatkan rumah pam Pudu Hulu Baru dan rumah pam Wangsa Maju.

"Kerosakan tersebut belaku kerana rumah pam beroperasi dalam keadaan ”overload” dari kapasiti rekabentuk 136 JLH (Juta Liter Sehari) kepada melebihi 200 JLH bagi menampung permintaan bekalan air yang kian meningkat", menurut bahagian perhubungan korperat Syabas.

Antara lokasi terjejas di Kuala Lumpur adalah Flat DBKL Dato’ Keramat, Jalan Padang Tembak, Jalan Semarak, Jalan Gurney, Kementah, Pulapol, Wisma Tanah, JUPEM, UTM, FELDA, Pusat Latihan Telekom, Jalan U Thant, Jalan Ampang Hilir, Taman Pandan Jaya, Taman Cempaka, Taman Bakti, Taman Nirwana, Kampung Pandan Dalam, Taman Cahaya.

Pengguna turut diminta untuk memberikan maklumat berkenaan kawasan terjejas bagi menjadualkan perkhidmatan lori tangki air ke kawasan yang lebih kritikal.

Sebarang aduan atau maklumat, pengguna boleh menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan Syabas iaitu Puspen di talian bebas tol 1-800 88 5252 atau melalui laman sosial facebook (Puspel syabas) atau menerusi twitter @puspel.