Pelaksanaan Pendidikan Sivik di sekolah yang bermula sejak Jun lepas akan menumpukan kepada empat nilai teras iaitu kasih sayang, kegembiraan, hormat-menghormati dan tanggungjawab.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Dr Mohamed Abu Bakar berkata, berteraskan empat nilai itu juga, KPM dapat menyediakan topik bersesuaian untuk dimasukkan dalam mata pelajaran berkaitan.

"Empat nilai teras ini sebenarnya diilhamkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sendiri dengan perbincangan dengan pakar-pakar yang terlibat.

"Nilai-nilai ini dipecahkan kepada beberapa topik kecil dengan penumpuan kepada isu berkaitan cabaran masa kini contohnya masalah sosial, kesihatan, pendidikan seksual, keselamatan jalan raya, hak asasi sebagai warganegara dan isu perpaduan," katanya selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, pada Selasa.

Pendidikan Sivik dilaksanakan selama sejam pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah.

Anak-anak di prasekolah pula akan diajar pendidikan sivik selama 30 minit, dan dalam masa yang sama, pendidikan sivik turut dilaksanakan dalam perhimpunan dan aktiviti kurikulum.

Dalam pada itu Mohamed menekankan peranan guru dan ibu bapa dalam menjayakan pelaksanaan pendidikan sivik bagi memastikan hasrat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melihat masyarakat Malaysia yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa dapat direalisasikan.

"Peranan paling penting ialah guru kerana mereka yang akan mengajar di bilik darjah dan kita sudah berikan latihan tetapi mereka perlu ada semangat kepunyaan serta yakin dengan pendidikan sivik supaya mereka seronok mengajar, tidak hanya sambil lewa sehingga menyebabkan murid bosan.

"Ibu bapa pula perlu memainkan peranan lebih di rumah untuk sama-sama menerapkan nilai sivik ini kerana pencapaian pendidikan sivik lebih berdasarkan amali dengan bantuan masyarakat sekeliling," katanya.

Selain itu Mohamed juga menggalakkan pihak swasta menyokong hasrat kementerian dengan membantu mempromosikan nilai-nilai sivik di luar sekolah dengan mengadakan aktiviti berkaitan nilai murni itu.

-- BERNAMA