Faktor bangunan yang telah lama dan pendawaian elektrik yang tidak diselenggara secara berkala antara punca yang dikenalpasti dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan blok bangunan yang menempatkan asrama pelajar lelaki Maktab Mahmud Alor Setar musnah dalam kebakaran semalam.

Ekoran daripada pendawaian elektrik yang telah lama, ia dipercayai telah mengakibatkan litar pintas dan seterusnya kebakaran yang bermula dari bilik asrama yang berada di tingkat dua bangunan itu.

Bagi mengenalpasti punca kejadian, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Md Zain melakukan tinjaun mengejut siang tadi ke blok bangunan yang menempatkan 20 pelajar itu.

Menurut Tajul, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalankan siasatan terperinci serta melakukan pemeriksaan semula terhadap sistem pendawaian elektrik di blok bangunan yang lain kerana bimbang kejadian berulang.

Kebimbangan itu disuarakan ekoran bangunan maktab ini telah lama beroperasi sejak tahun 60-an lagi.

“Saya minta pihak sepatutnya khususnya JKR untuk buat ‘estimate’ kerugian dan kontraktor-kontraktor yang boleh mengambil tindakan segera membaikpulih dan juga membuat pendawaian dan pendawaian itu terpaksa kita buat seluruh bangunan,” kata Tajul.

Jelas beliau lagi setakat ini pihak kerajaan negeri belum bercadang untuk membina bangunan baru bagaimanapun akan membaikpulih bangunan sedia ada tetapi menepati ciri-ciri yang diluluskan.

Anggaran kos keseluruhan untuk membaikpulih bangunan yang telah musnah dan pendawaian dianggarkan melebihi RM300 ribu.

Pada lawatan itu beliau turut menyampaikan bantuan kewangan kepada pihak pengurusan sekolah bagi membantu pelajar-pelajar yang rata-rata peralatan serta pakaian mereka musnah dalam kebakaran itu.

Dalam kejadian pagi semalam, lebih 20 pelajar Maktab Mahmud tinggal sehelai sepingang selepas asrama yang menempatkan pelajar lelaki itu musnah dijilat api.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.10 pagi itu, dipercayai berpunca daripada litar pintas yang memusnahkan blok asrama didalam bangunan dua tingkat itu.

Selain asrama, bangunan ini juga menempatkan kantin asrama lelaki, koperasi sekolah dan setor simpanan dokumen termasuk kertas peperiksaan.