SHAH ALAM:Syarikat dron yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor untuk memantau aktiviti pencemaran sumber air di negeri itu mempunyai prestasi yang baik di peringkat antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, syarikat berkenaan berada di kedudukan keenam terbaik di dunia dalam menyediakan perkhidmatan menganalisa dan mencerap kualiti air.

"Ini yang saya maksudkan bahawa dron jangan dilihat pada mesin dron tetapi terhadap aplikasi dan analisa yang mampu dibuat. Syarikat ini adalah syarikat dron nombor enam terbaik di dunia yang bertapak di Malaysia dan terkenal.

"Ia juga beroperasi di banyak (lokasi) termasuk anak-anak syarikat kerajaan negeri dan juga anak syarikat kerajaan Persekutuan sehinggalah di Eropah dan sebaganya," katanya dalam sidang media di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini hari ini.



BACA: Memadaikah guna dron pantau pencemaran sungai?

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, dengan penggunaan dron berteknologi tinggi itu, ia dapat memberikan analisa dan mengesan sesuatu kandungan dalam air pada peringkat awal.

Justeru, katanya, tindakan pantas boleh diambil sekiranya pencemaran dikesan di sungai-sungai yang terlibat.

"Perkhidmatan dron ini akan memberikan dua kajian awal kepada kita iaitu pertama berkenaan dengan unsur-unsur premis bangunan dan juga apa-apa perkara yang berada berhampiran dengan sungai yang boleh mencemarkan.

"Selepas itu kita akan membuat proses penguatkusaan secepat mungkin untuk memastikan punca-punca dan potensi pencemaran ini boleh dikurangkan atau dihapuskan.

"Namun, ia memerlukan sedikit masa untuk kajian sebab cerapan akan dibuat oleh syarikat atau pengendali dron sebelum ia dapat disampaikan kepada kerajaan negeri," katanya.

Jelas Amirudin, dron tersebut berkeupayaan untuk bergerak sejauh lebih 1,000 kilometer (km) dan akan diterbangkan sebanyak dua kali sehari.

Katanya, ia dijangka beroperasi pada bulan November ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian memaklumkan penggunaan dron itu selepas mendapat kelulusan RM2 juta dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

BACA: Selangor lulus RM2 juta beli dron pantau pencemaran sungai - Exco