Ringkasan AI
- Pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) di empat sekolah akan dinilai dalam tempoh enam bulan hingga setahun, dengan pemantauan bulanan untuk memastikan keberkesanan.
- Sesi libat urus bersama ibu bapa akan diadakan untuk menjelaskan hasrat dan objektif SRBJ, tanpa mengganggu silibus Kementerian Pendidikan.
- Sebanyak 90 guru dari empat sekolah SRBJ akan menjalani latihan di Institut Pendidikan Nasional (NIE) Singapura pada April, sebagai sebahagian daripada 212 guru yang terlibat.
Beliau berkata pemantauan pembelajaran pelajar terlibat pula dilaksanakan pada setiap bulan bagi memastikan kelancaran dan keberkesanannya.
"Saya yakin guru-guru komited untuk membantu dan menggerakkan SRBJ, dari segi pemantauan pembelajaran memang setiap bulan dilakukan.
"Ia bukan hanya melibatkan pemantauan peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Johor, tetapi juga pejabat saya untuk memastikan ia dilaksanakan dengan baik di sekolah terpilih ini," katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4, di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan SRBJ secara rasminya bermula hari ini yang melibatkan 2,574 pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 dan SK Seri Kota Puteri 4 di Masai serta SMK Tasek Utara dan SK Tasek Utara di Johor Bahru.
Aznan berkata pihaknya akan turut mengadakan sesi libat urus bersama ibu bapa pelajar terlibat pada 20 Feb ini berhubung hasrat dan objektif pelaksanaan SRBJ.
"Fasa pertama pembelajaran akan berjalan seperti biasa dan ia tidak akan mengganggu silibus Kementerian Pendidikan (KPM), cuma akan ada beberapa kaedah pembelajaran yang akan ditambah.
"Cuma untuk fasa ini, sesi libat urus bersama ibu bapa akan diadakan supaya mereka faham apa hasrat kerajaan negeri mengenai SRBJ," katanya.
Beliau dalam pada itu berkata dianggarkan 90 guru SRBJ di empat buah sekolah berkenaan akan dihantar menjalani latihan di Institut Pendidikan Nasional (NIE) Singapura pada April depan.
Aznan berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada 212 guru yang terlibat dalam menjalani latihan secara berperingkat di republik berkenaan.
Beliau sebelum ini memaklumkan SRBJ memberikan penekanan terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta bahasa Inggeris, dengan pelajar diwajibkan melengkapkan sekurang-kurangnya 112 jam kelas dalam mata pelajaran STEM setiap tahun berbanding sekurang-kurangnya 64 jam di sekolah lain.
Menurutnya usaha kerajaan negeri melaksanakan SRBJ adalah selari dengan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail agar kualiti, sistem serta fasiliti pendidikan di Johor ditingkatkan selain memperbaharui silibus mata pelajaran sedia ada.
--BERNAMA
