KUALA LUMPUR: Pencalonan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) dibuka sekarang sehingga 31 Mei ini, menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)

Turut dibuka untuk tempoh sama ialah pencalonan Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu bagi mengiktiraf ahli akademik universiti awam (UA) berumur 40 tahun ke bawah dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal, bagi mengiktiraf ahli akademik di Politeknik dan Kolej Komuniti.

"Sehingga kini KPT telah menobatkan lapan tokoh akademik, sejak anugerah ini diperkenal pada 2012. Anugerah berprestij ini bertujuan mengiktiraf ahli akademik UA yang mengangkat bahasa Melayu dalam pelbagai bidang.

"Bukan sahaja sains sosial, malah sains dan teknologi dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai wahana penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan khidmat ikhtisas kepada masyarakat," menurut kenyataan itu.

Kenyataan KPT itu menyatakan pihaknya akan terus komited dalam merealisasikan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di UA ,dalam usaha mendaulatkan bahasa itu sebagai bahasa ilmu, seterusnya menjadikannya kekal sebagai wahana pembangunan ilmu, penyampaian maklumat dan komunikasi di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut permohonan, orang ramai boleh layari https://atabm.mohe.gov.my dan e-mel kepada urus setia melalui e-mel atabm@mohe.gov.my.

-- BERNAMA