Sarawak Media Group/TVS dalam kenyataan pada Sabtu berkata, pihaknya berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa, jika diperlukan.
"Kami memahami keprihatinan semua pihak terhadap perkara ini dan ingin menegaskan bahawa perkara ini tidak berkaitan dengan Sarawak Media Group/TVS.
"Operasi Sarawak Media Group/TVS akan dijalankan seperti biasa, dan kami menggalakkan sebarang pertanyaan atau penjelasan berkenaan perkara ini diajukan terus kepada pihak kami melalui saluran komunikasi rasmi kami untuk memastikan maklumat yang sahih dan tepat," katanya dalam kenyataan itu.
BACA: Pegawai tertinggi syarikat penyiaran direman, disyaki terlibat pengubahan wang haram
Badan penyiaran televisyen yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak itu menambah, penyebaran sebarang maklumat palsu atau tuduhan yang tidak berasas boleh menyebabkan implikasi yang tidak wajar terhadap reputasi mereka.
Malah, syarikat itu berkata pihaknya memandang serius tindakan sedemikian.
"Sarawak Media Group/TVS terus komited untuk menjaga integriti dan mengekalkan kepercayaan semua pihak yang berkepentingan dan masyarakat umum," ujarnya.
Dalam masa sama, Sarawak Media Group/TVS berkata pihaknya akan terus memantau situasi itu dengan teliti dan memberikan maklumat lanjut sekiranya perlu.
Pada Jumaat, polis Bukit Aman mengesahkan menahan lima individu termasuk seorang CEO kerana disyaki terbabit kes pengubahan wang haram menerusi OP Ragada.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua suspek ditahan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sarawak.
Katanya, hasil serbuan yang dijalankan, pasukan AMLA berjaya merampas, membekukan dan menyita aset-aset seperti kenderaan, akaun bank serta dokumen-dokumen dengan nilai keseluruhan berjumlah RM17,434,217.36.