IPOH: Seorang pemuda maut apabila kereta yang dipandunya dikatakan terbabas sebelum merempuh sebuah lori kontena di Jalan Ipoh - Kuala Kangsar, di sini, malam tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Ho Kang Wei, 21, disahkan maut di lokasi kejadian.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 10.07 malam.

Katanya, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah lori kontena.

“Mangsa pemandu Myvi telah tersepit dan disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fauzi Hashim tamat pada 11.55 malam.