Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang mencabar Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali untuk menunjukkan peruntukan manakah dalam Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan kerajaan memasukkan ruang 'kaum' dalam borang rasmi kerajaan.

"Saya ada Perlembagaan Persekutuan dalam tangan saya… mana ada (peruntukan yang wajibkan kolum 'kaum').

"Jadi mesej saya kepada Perkasa, lebih baik tunjuk dahulu peruntukan undang-undang itu sebelum hendak saman kerajaan," katanya kepada Astro AWANI.

Keng Liang sebelum itu mengeluarkan satu kenyataan media mengulas kenyataan Ibrahim yang mahu menyaman kerajaan sekiranya kerajaan mengugurkan kolum 'kaum' daripada sesetengah borang rasmi jabatan dan agensi kerajaan.

Katanya, kewujudan ruang itu pada borang rasmi adalah atas budi bicara kerajaan dan bukannya sesuatu yang diwajibkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Ibrahim membuat ancaman itu susulan laporan yang memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata jemaah menteri dalam mesyuaratnya pada Rabu memutuskan untuk menggugurkan ruangan 'kaum' dalam borang rasmi kerajaan yang tiada nilai tambah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bagaimanapun menafikan kabinet membuat keputusan seperti itu dan tiada perubahan dasar kerajaan berhubung isu ruangan 'kaum' dalam borang kerajaan.

"Kami ada bincang perkara ini tetapi keputusannya adalah mengekalkan amalan dan dasar sedia ada," katanya kepada pemberita di Taiping pada Khamis.

Jelas Najib, negara masih memerlukan perkara itu untuk mendapatkan perangkaan kaum bagi memudahkan kerajaan memantau kemajuan setiap kaum bagi memastikan pengagihan kekayan dan peluang yang lebih seimbang.

Ibrahim membuat penegasan akan membawa perkara tersebut ke mahkamah sebelum Najib menafikan kenyataan menteri di pejabatnya itu.

"Perkasa akan bawa perkara ini ke mahkamah untuk mohon mahkamah mengisytiharkan penghapusan identiti kaum adalah bertentangan dengan Perlembagaan," katanya.

Menurut Ibrahim, Perkasa sudah mengarahkan dua firma guaman untuk meneliti perkara itu dan memfailkan tindakan di mahkamah.

"Perkasa akan lawan habis-habisan melalui perundangan," tambahnya.

Menurut Keng Liang, Pemuda Gerakan percaya ruang 'kaum' itu perlu dihapuskan demi masa depan negara kerana "diskriminasi kaum perlu dihapuskan".

Ditanya apakah perlu kolum itu digugurkan daripada semua borang kerajaan, Keng Liang menjelaskan ruang itu masih boleh dikekalkan tetapi hanya pada borang yang ada kena-mengena dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Misalnya permohonan biasiswa, itu boleh ada. Saya hormat peruntukan Artikel 153 sebab ia ada dalam perlembagaan negara kita," katanya, dan mengingatkan bahawa peruntukan itu sudah ada sejak merdeka.

Cadangan sama sebelum ini pernah disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup semasa merasmikan Dialog Perpaduan anjuran Majlis Perundingan Perpaduan Nasional dan Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia pada akhir Februari lepas.

Katanya, selepas 50 tahun penubuhan Malaysia, sudah tiba masanya keperluan menamakan identiti kaum dalam sebarang borang di negara ini dihapuskan

Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/tiba-masa-hapuskan-nama-bangsa-joseph-kurup-30576?cp