KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut dihempap pokok ketika memotong rumput dalam kejadian berhampiran sebuah sekolah di Tebobon, di sini, pada Selasa.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki maut selepas dihempap pokok ketika memotong rumput berdekatan sebuah sekolah di Tebobon, Kota Kinabalu, pada Selasa kira-kira jam 9 pagi.
  • Mangsa yang berusia 35 tahun itu disahkan meninggal di tempat kejadian.
  • Pasukan Bomba dan Penyelamat Lintas dipanggil ke lokasi dan selepas memotong pokok tumbang tersebut, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun disahkan maut di lokasi tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.08 pagi.

Katanya, seramai 11 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 11 kilometer dari BBP Lintas.

"Sebaik tiba di lokasi, terdapat seorang mangsa dihempap pokok tumbang dan tersepit semasa melakukan kerja memotong rumput di lokasi.

"Pasukan bomba bertindak memotong dahan pokok tersebut menggunakan gergaji berantai untuk dialihkan ke tempat lain sebelum mangsa dikeluarkan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi akibat kecederaan parah," katanya. - Sinar Harian